• Monday, 21 June 2021, 3:28 am

Jangan terpengaruh golongan antivaksin- Sultan Johor

 Jangan terpengaruh golongan antivaksin- Sultan Johor

JOHOR BAHRU, 9 Jun — Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan rakyat jangan mudah terpengaruh dengan golongan antivaksin yang dipelopori pihak tertentu.

Baginda bertitah, rakyat perlu memahami bahawa tujuan pengambilan vaksin untuk mencegah jangkitan COVID-19 daripada terus mengancam kesihatan orang ramai.

“Islam mengajar kita agar sentiasa memelihara keselamatan diri menerusi segala langkah pencegahan daripada apa jua kemudaratan khususnya wabak penyakit. Kaedah dalam menentukan hukum-hakam ada menegaskan bahawa membenteras keburukan adalah lebih utama daripada membawa sesuatu kebaikan.

“Mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. Janganlah kita mendengar cerita karut yang disebarkan puak anti-vaksin ini.

“Dapatkan vaksin demi keselamatan diri dan untuk imuniti kelompok agar penularan COVID-19 dapat dicegah,” titah baginda yang disiarkan Royal Press Office (RPO), di sini semalam.

Baginda memetik firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 195 yang bermaksud: “Jangan kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

“Ini yang diajar agama kita. Mereka yang menolak tanpa sebab munasabah vaksin COVID-19 ini yang telah disediakan kerajaan dan sudah difatwakan halal oleh Jawatankuasa Fatwa, seolah-olah merelakan diri dijangkiti wabak yang amat berbahaya ini.

“Islam tidak membenarkan umatnya berserah bulat-bulat kepada takdir yang akan menimpa tanpa sebarang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkannya. Bagi mereka yang sudah menerima suntikan vaksin, janganlah leka pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pula,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Johor mengingatkan pihak tertentu supaya tidak mempolitikkan isu vaksin.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *