Jangan Terlepas Pandang luahan hati Wani Kayrie

 Jangan Terlepas Pandang luahan hati Wani Kayrie


PETALING JAYA : Penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie meluahkan apa yang terbuku di dalam hati mengenai perjalanan seninya menerusi lagu Jangan Terlepas Pandang yang diterbitkan di bawah pengurusan Rocketfuel Entertainment. 

Jelas Wani, lagu terbabit mengisahkan tentang posisinya dalam industri hiburan yang mungkin kurang diiktiraf oleh segelintir pihak meskipun sudah lebih sedekad berkecimpung.

Single tersebut merupakan hasil ciptaan komposer terkenal negara, MFMF dan Asyraf Nasir.

“Lagu ini adalah suara hati saya, setelah lebih 10 tahun bergiat aktif dalam industri, saya lebih matang dalam berpendirian.

Jangan Terlepas Pandang bercerita tentang saya dalam industri keran mungkin kewujudan saya tidak dilihat atau mendapat pengiktirafan seperti yang diinginkan.

“Namun saya masih berharap untuk menjadi bintang utama dan tidak ‘dilepas pandang’,” kata Wani.

Menurut Wani, dia amat bersyukur kerana penantian menghasilkan single bersama Rocketfuel akhirnya terlaksana. Wani berharap agar taruhan terbarunya itu dapat diterima baik oleh orang ramai.

“Akhirnya penantian menghasilkan single bersama Rocketfuel tercapai jua. Syukur dan setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kerana diberikan peluang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel sekaligus tampil dengan lagu baru.

“Saya berharap agar single Jangan Terlepas Pandang ini dapat diterima ramai. Dan buat sesiapa yang mendengarnya, percaya dengan kebolehan diri sendiri dan jangan takut mencuba perkara baru dalam hidup, jangan mudah berputus asa dan jangan jadikan kritikan orang luar dalam menjatuhkan kredibiliti kita,” tambahnya.

Sementara MFMF pula berpendapat, kini tibalah untuk Wani betul-betul menyinar dalam industri.

“Apa yang kami cuba sampaikan melalui lagu ini kepada pendengar adalah sebuah kenyataan bahawasanya masa Wani untuk menyinar telah tiba. Ia menceritakan tentang semangat beliau dalam menonjolkan bakat dan kemampuan dirinya, serta bagaimana beliau mengatasi rintangan yang dihadapi apabila merasa tewas.

“Selain itu, mesej yang terdapat dalam lagu ini juga adalah sebagai pembakar semangat bagi setiap individu di luar sana yang ingin membuktikan diri mereka kepada semua orang bahawa mereka mampu mencapai lebih daripada apa yang disangkakan jika sentiasa bekerja keras dan tak berputus asa,” katanya.

Lagu Jangan Terlepas Pandang boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

 Video muzik (MV) single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  21  =  22