• Sunday, 20 June 2021, 9:39 am

JANGAN PANIK!

 JANGAN PANIK!

Oleh Irwan Abd Rahman

PAKAR-pakar survival berkata, antara kemahiran atau skill yang paling penting untuk selamat ketika menghadapi situasi merbahaya adalah kebolehan bertenang.

Ya, dalam apa pun keadaan yang mengancam nyawa (ataupun mengancam reputasi, seperti yang dihadapi sebuah syarikat pengangkutan darat baru-baru ini), perkara pertama yang kita perlu ingat adalah JANGAN PANIK, kerana panik dan gelabah hanya akan menghasilkan lebih masalah yang lain pula.

Ini bukan bermaksud kita melepak dan tidak menghiraukan isu, situasi atau masalah yang menimpa — itu adalah umpama kartun burung unta yang memasukkan kepalanya ke dalam tanah dengan harapan ia tidak dilihat musuh — jika kita tak nampak masalah, maka tiadalah masalah itu, kan? Tidak! Walaupun kita pura-pura tidak tahu atau menganggap masalah kita itu tidak wujud, masalah yang dihadapi tetap menjadi masalah sehinggalah kita menyelesaikannya. Jika rumah kita sedang terbakar ketika kita sedang tidur, api itu akan tetap menjadi lebih marak walaupun kita tidak mahu bangun dari tidur dan mengharap ianya hanya mimpi buruk semata-mata. Ambil pendekatan Mat Jenin sebegini, dan kita pasti akan menjadi korban.

Jadi, apakah masalah kita rakyat Malaysia sekarang? Apa isu yang membakar hati kita hari ini?

Jawapannya mestilah PKP dan lockdown, bukan? Arahan terbaru yang diumumkan kerajaan semalam mewartakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh bermula hari Selasa ini sehinggalah 14 Jun 2021. Walaupun perinciannya masih belum pasti, kita dapat bayangkan ia akan sama dengan PKP yang terawal sekali tahun lalu, di mana kebanyakan pergerakan dan aktiviti ekonomi ataupun sosial dilarang sama sekali. Jika kita ingat, jalanraya dan bangunan komersil, pusat pelancongan serta taman-taman riadah kosong tanpa penghuni, pelanggan dan pelawat. Kedai dan gudang serbaneka senyap berkunci, sehinggakan barangan tinggal berhabuk dan rosak dimakan kulat. Di mana kita lihat pun, memang satu senario seakan-akan filem distopia dan pasca-apokalips akhir zaman.

Dan kita juga ingat akibat daripada PKP 1.0 dahulu — perniagaan rugi besar sehinggakan banyak bisnes terpaksa gulung tikar dan ribuan pekerja hilang pendapatan. Normal dah jadi abnormal. Setiap dari kita tersentap dari zon selesa masing-masing, dan tidak tahu bagaimana nak melangsungkan kehidupan. Chaos!

Ramai di antara kita panik. Dari panic-buying (pembelian tidak rasional) hinggalah ke panic-hoarding (simpan barang dengan keterlaluan), kita seperti hilang punca dan banyak bertindak mengikut emosi dan menurut herd behaviour (ikut sikap/tindakan/kehendak ramai).

Tindakan kita itu dulu memang bersebab — itu kali pertama kita menghadapi situasi sebegitu, dan kita hanya mengikut kata hati yang berasaskan survival instinct. Tetapi setelah beberapa bulan kita melalui beberapa gelombang wabak ini dan berjenis-jenis PKP, kita mula lebih bersedia, dan mula lebih bertenang. Kita belajar dari kesilapan, dan dapat melihat bahawa kita sebenarnya jauh lebih kuat dari yang kita sangka. Kebanyakan dari kita yang kehilangan kerja mendapat kerja baru, sehinggakan ramai juga yang mencuba kerjaya baru. Ramai yang menjadi usahawan; ada juga yang mula sedar bahawa mereka sebenarnya tidak suka pekerjaan lama mereka dan hanya mencari sebab untuk bertukar angin menceburi kerjaya yang lebih membahagiakan mereka. Krisis ini telah membuka mata ramai di antara kita tentang apa yang sebenarnya penting bagi diri kita — dan ramai yang menilai semula segala aspek kehidupan seperti anak-isteri, harta, masa bersama keluarga, hobi, tahap stres dan kesihatan diri. Dari korporat ke kreatif, dari makan gaji ke bos sendiri, di dalam kesusahan dan cabaran yang kita tempuhi, terlalu banyak hikmah yang kita dilimpahi.

Jadi kali ini, sedarlah. Kita masih kuat. Kita masih bertahan.

Benar, angka kes harian yang beribu serta jumlah kematian akibat COVID-19 memang menggerunkan. Enam puluh kematian sehari bermakna 20,000 kematian setahun! Kita sememangnya PATUT takut dan gusar dengan peningkatan ini. Trajektori jangkitan kita amat serius dan berupaya melumpuhkan seluruh sistem kesihatan negara kita jika tidak ditangani dengan efektif. Barisan hadapan kita penat dan perlukan pertolongan. Jadi marilah kita bantu — dengan terus mengikut SOP dan menurut arahan kerajaan bagi memutuskan rangkaian jangkitan koronavirus ini. Duduk di rumah dah bersabarlah ketika lockdown yang akan kita hadapi. Plan ahead. Ambil peduli, buka mata dan tolong orang di sekeliling sebanyak mana yang kita mampu. Ada yang perlu bantuan makanan, ada yang perlu pertolongan teknikal untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin, ada juga yang memerlukan sokongan emosi — stres dan depresi adalah masalah sebenar dan boleh membawa maut.

Ada juga yang perlu ditegur, apabila tidak menghiraukan arahan SOP. Mainkan peranan kita, jalankan tanggungjawab bersama.

Namun, JANGAN PANIK. Kita bersama di dalam peperangan ini.

Program vaksinasi sedang dilaksanakan. Walaupun terdapat kelemahan teknikal dan perlaksanaan, namun program ini semakin rancak dijalankan dan bantuan sukarelawan juga semakin banyak, termasuk dari sektor swasta. Jika nak kritik, biralah kritikan yang membina, bukan menjatuhkan.

Beban barisan hadapan semakin berat, dan golongan yang terkesan semakin tenggelam, namun kita tahu, rakyat Malaysia adalah antara yang paling penyayang dan prihatin — kita tidak lokek membantu dan amat peka lagi inovatif apabila kita bekerjasama menyelesaikan sesuatu masalah. Ingat lagi pelbagai usaha murni sukarelawan menghasilkan pelindung muka, pakaian PPE dan lain-lain keperluan tahun lalu? Itulah orang kita, simpati dan baik hati, tak kira bangsa dan agama.

Jadi, tak perlulah mengumpul terlalu banyak barangan makanan dan tisu tandas. Kerajaan sentiasa bekerjasama dengan pihak industri bagi memastikan bekalan barang keperluan mencukupi. Usahlah panik nak memburu dan mengumpul roti sampai menimbun. Sebanyak mana pun roti ‘Taman-ia’ yang kita simpan, ia akan tahan 4 – 5 hari sahaja sebelum jadi basi. Berilah peluang orang lain untuk sama-sama membeli. Kilangnya di Shah Alam itu pun masih aktif produksi.

Bak kata poster ‘omputeh’ yang tular tak lama dahulu:

Bertenang, bertimbangrasa, besabar dan terus berusaha. Kita berupaya, dan mesti menang.

Irwan Abd Rahman

https://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *