Jangan naikkan cukai rokok

 Jangan naikkan cukai rokok

KUALA LUMPUR, 27 Okt — Dalam tempoh enam tahun sejak 2015, perdagangan rokok seludup di negara ini merekodkan penyusutan 6.2 peratus, pengurangan daripada 64.1 peratus pada Disember 2020 kepada 57.9 peratus.

Walaupun usaha banteras rokok seludup satu permulaan baik, namun polisi penguatkuasaan perlu diperkasa pada masa akan datang.

Tinjauan awam di kalangan perokok tegar mendapati setiap kali berlakunya kenaikan cukai, lambakan rokok seludup memenuhi pasaran tempatan menyebabkan perokok memilih rokok seludup kerana harganya lebih murah.

Azrul, 26, seorang jurutera IT berkata kerajaan perlu mengambil perhatian serius bagi menjaga keselamatan pengguna daripada pasaran rokok seludup.

“Bukan saya berpihak kepada syarikat rokok. Hakikatnya adalah sering berlaku salah tanggapan yang menyatakan dengan menaikkan cukai rokok, ia akan mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat.

“Sebenarnya, tidak,” katanya.

Tahun lalu sahaja, sindiket rokok seludup menguasai 64 peratus pasaran negara, manakala 36 peratus ialah rokok yang dikenakan cukai.

Ini menyebabkan negara kerugian RM5 bilion setahun.

Kerajaan sepatutnya bertindak mengurangkan masalah lambakan rokok seludup dengan memberi perhatian isu penguatkuasaan dan korupsi, bukannya dengan menaikkan cukai semata-mata.

Bagi penjawat awam, Mohamad, 37, berpandangan agar langkah menaikkan cukai rokok perlu ditangguhkan terlebih dahulu walaupun memahami kerajaan memerlukan dana tambahan untuk menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Sebagai seorang perokok tegar, saya faham kerajaan mahu mencari pendapatan tambahan untuk pembangunan negara di masa akan datang. Tetapi, langkah naikkan cukai perlu tangguh dahulu. Selesaikan perihal banteras rokok seludup dengan tumpaskan kartel-kartel rokok seludup dalam negara.

“Keadaan itu akan menyebabkan negara masih lagi dibelenggu dengan masalah rokok seludup,” jelasnya.

Tambahan pula, kandungan nikotin yang lebih tinggi dalam rokok seludup menyebabkan faktor ketagihan selain daripada faktor ia mudah didapati di pasaran.

“Kita sebagai pengguna rokok tegar, saya ragu-ragu kandungan nikotin rokok seludup yang dijual di pasaran.

“Pengguna terdedah kepada produk yang berkualiti rendah dan tidak mengikut peraturan pembuatan,” kata Simon, seorang peniaga berusia 30-an.

Bagaimanapun, jika senario menaikkan cukai rokok kembali dilaksanakan, usaha kerajaan untuk memperkasakan kutipan cukai rokok akan terjejas.

Ini kerana, sudah tentu perokok sendiri akan memilih rokok yang lebih murah harganya iaitu rokok seludup.

Perkara ini telahpun dibangkitkan Senator Muhammad Zahid Md Arip dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara baru-baru ini.

“Jika senario ini kembali, usaha kita untuk memperkasakan kutipan cukai rokok akan terjejas melainkan kerajaan benar-benar memberikan jaminan kepada rakyat bahawa tidak akan berlaku sebarang penyeludupan dan ketirisan yang berlaku dalam negara, pada saya ianya mustahil ibarat kita mengharapkan ayam jantan bertelur kerana realitinya berlambak rokok, berlambak kedai rokok yang menjual rokok seludup dan ia boleh dibeli dengan begitu mudah.

Senator Muhammad Zahid Md Arip

“Dalam hal ini saya mempersoalkan di mana penguatkuasaan kita, di mana Jabatan Kastam, di mana PDRM, dan di mana KPDNHEP. Kenapa tidak dijalankan operasi besar-besaran secara berterusan bagi memerangi sindiket ini. Kenapa hangat-hangat tahi ayam?

“Justeru, kembali kepada soal cukai tadi, sebagai alternatifnya kerajaan boleh mengenakan cukai yang lebih mesra kepada pembentangan Bajet akan datang apabila persekitaran perniagaan kita mulai stabil.

“Jika rokok yang sah ketika ini harga minimum adalah RM12 sekotak manakala maksimum harga adalah RM17.40 sekotak, dengan kerajaan menetapkan RM9 adalah cukai. Rokok haram pula dijual di bawah harga RM9, di bawah harga cukai iaitu rata-ratanya adalah antara RM3 hingga RM6 sekotak.

“Tentu sekali jika rokok sah melambung harganya, sindiket penyeludupan akan melihat “ini peluang baik dia boleh cari makan” sebab ia menyebabkan banyak ketirisan berlaku serta tergugat integriti dalam kalangan pihak berkuasa,” katanya.

Jelasnya, tindakan kerajaan menaikkan cukai rokok dalam pembentangan Belanjawan 2022 akan datang akan merangsang kembali aktiviti penyeludupan rokok haram di Malaysia.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *