Jangan lupa ambil kira risiko pelaburan

 Jangan lupa ambil kira risiko pelaburan
Oleh Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

PENGUMUMAN dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) baru-baru ini yang merupakan prestasi terendah dalam sejarah, telah mengundang perasaan kurang senang di kalangan pelabur. Perasaan ini tidak salah sebenarnya. Sebagai pelabur, kita berhak membuat penilaian sendiri. Tidak kurang juga ada yang mungkin mahu beralih arah untuk mencari peluang pelaburan lebih baik. Sekali lagi, tindakan ini juga tidak bertentangan dengan prinsip pelaburan. Sebabnya, pelabur yang bijak akan sentiasa membuat penilaian terhadap prestasi pelaburan sama ada ia menepati objektif pelaburan ditetapkan. Bagaimanapun, penilaian ini seharusnya seimbang dalam erti kata faktor risiko juga perlu diambil kira.

Apa itu risiko pelaburan? Ia adalah suatu kebarangkalian atau kemungkinan sesuatu pelaburan itu akan rugi atau tidak menepati sasaran ditetapkan.

Sememangnya ada formula matematik bagi tujuan kiraan risiko ini. Namun, sebagai orang awam, kesedaran mengenai tahap risiko sudah dikira memadai bagi membantu dalam membuat analisis pelaburan yang dibuat. Secara umum, pelaburan dalam bon terbitan kerajaan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Sukuk Kerajaan mempunyai risiko pelaburan paling rendah. Ini memandangkan kerajaan sentiasa berupaya untuk melunaskan hutangnya terutama hutang dalam terbitan dalam mata wangnya sendiri seperti Ringgit Malaysia. Kemudian diikuti pelaburan dalam simpanan di bank seperti simpanan tetap dan unit amanah. Manakala, bon korporat dan saham terbitan syarikat tersenarai dikira mempunyai tahap risiko pelaburan lebih tinggi.

Dalam kes ASB ini, ia seolah-olah mirip simpanan tetap di bank yang mana nilai prinsipal yang dilaburkan tidak hilang. Ini bermakna, ia kekal pada tahap yang sama tanpa ada apa-apa perubahan di samping simpanan boleh dikeluarkan dalam tempoh yang begitu singkat.

Justeru, ia boleh dikira bebas risiko kredit selain mudah dicairkan. Ini bermakna pelabur boleh mengeluarkan pelaburan mereka bila-bila masa. Namun, turun naik dividen boleh berlaku. Jadi ada juga risikonya iaitu risiko pasaran. Meskipun demikian, secara keseluruhannya nilai prinsipal akan tetap bertambah dengan dividen yang diumumkan. Oleh itu, risiko pelaburan adalah sangat rendah dan sepatutnya tidak memeningkan kepala kerana nilai pokok tidak terjejas.

Kemudian, kita perlu memahami konsep faktor pengganda (compounding factor). Ia merujuk suatu pelaburan yang sentiasa disimpan dan tidak dikeluarkan sehingga mencapai tarikh matang atau mencapai tempoh ditetapkan. Hasilnya, nilai pelaburan itu akan bertambah secara compounding atau berganda. Contoh, jika seseorang itu menyimpan RM1,000 dalam suatu instrumen pelaburan selama tiga tahun yang purata pulangannya 4% setahun maka pada akhir tahun ketiga, nilai pelaburan itu akan mencecah RM1,124.86 yang mana nilai prinsipal iaitu RM1,000 dicampur dengan pulangan pelaburan selama tiga tahun iaitu RM124.86.  Jika seseorang membuat keputusan untuk mengeluarkan sebahagian daripada wang pelaburan itu pada tahun kedua, sudah tentu pelabur ini tidak dapat merealisasikan pulangan sebanyak RM124.86.

Kalau diperhatikan contoh di atas, melabur ini seolah-olah seperti bertani. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi manakala benih yang disemai perlu dibaja dan dijaga supaya buah yang dihasilkan adalah baik dan boleh mendatangkan keuntungan apabila dijual kepada peraih. Untuk mendapatkan hasil yang baik, baja yang sesuai perlu digunakan dengan jadual yang betul bagi meningkatkan hasil tanaman. Penggunaan racun yang sesuai juga penting bagi mengelakkan serangan serangga perosak bagi tujuan mengelakkan tanaman itu rosak. Dalam dunia pelaburan, baja dan meracun mungkin boleh dirujuk sebagai perkara yang melibatkan pembacaaan yang relevan bagi memahami iklim pelaburan yang sememangnya sentiasa meruap.

Dengan pengetahuan yang jelas, keputusan pelaburan yang baik dapat dilaksanakan di samping kesabaran yang tinggi bagi menunggu hasil yang berbaloi. Adakala seseorang itu, terkeliru adakah mereka ini pelabur atau pedagang. Pedagang biasanya mengambil masa singkat untuk membuat keuntungan yang mana analisis teknikal seperti pembacaan carta akan banyak digunakan bagi mengenal pasti trend bagi tujuan untuk titik masuk (entry point) dan juga masa untuk titik keluar (exit point).

Hakikatnya melabur ialah suatu komitmen jangka panjang. Sebelum melabur, seseorang itu perlu membuat simpanan daripada hasil pendapatan mereka. Tidak kira sama ada seseorang itu makan gaji atau berniaga, prinsip untuk menyimpan tetap sama. Kemudian kita perlu memahami konsep inflasi yang mana harga barang dan perkhidmatan boleh dikatakan sentiasa mencatatkan kenaikan. Perkara ini jika tidak ditangani, boleh mengurangkan kuasa beli seseorang itu. Lazimnya, kadar inflasi ini diukur oleh perubahan di dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mana ia merupakan suatu ukuran secara agregat atau keseluruhan bagi barangan dan perkhidmatan di sesebuah negara.

Berdasarkan data IHP 1985-2020, IHP ini telah meningkat  2.4% setahun. Ini bermakna, saban tahun rakyat Malaysia akan kehilangan kuasa beli sebanyak 2.4%. Untuk memahami konsep ini dengan lebih lanjut, andaikan seseorang itu mempunyai RM100 pada awal tahun dan wang itu disimpan di dalam almari. Nilai wang tersebut akan merosot kepada RM97.60 pada akhir tahun tersebut. Ini kerana harga barang dan perkhidmatan telah meningkat secara purata iaitu 2.4% setahun. Secara fizikal, wang itu masih lagi kelihatan RM100. Namun hakikatnya, wang tunai itu telah menyusut nilainya akibat kenaikan harga barang kerana jumlah barangan yang boleh dibeli dengan nilai wang tersebut telah berkurangan.

Di sini, keperluan untuk menyimpan dan kemudian melabur perlu dititikberatkan kerana harga barang dan perkhidmatan memang sentiasa naik. Memang benar, pihak berkuasa akan cuba mengawal harga terutamanya harga barang makanan serta barangan keperluan asas. Namun secara umumnya, harga barang tetap akan naik. Konsep kuasa beli dan nilai masa wang perlu diamati supaya kita dapat membuat keputusan yang bijak dalam merancang kewangan peribadi kita dan perlu jelas mengenai objektif pelaburan. Adakah ia untuk simpanan hari tua, pendidikan anak-anak, wang pendahuluan untuk membeli rumah atau pun memang bertujuan menambah kekayaan.

Konsep risiko perlu diamati sepenuhnya kerana wujudnya hukum dalam pelaburan iaitu semakin tinggi risiko sesuatu pelaburan itu maka semakin tinggilah pulangan pelaburan itu. Jarang kita mendengar risiko ini disebut seperti risiko pelaburan ini adalah 10%, 20% dan sebagainya. Tetapi setiap kelas aset itu boleh dikategorikan sebagai risiko yang rendah atau tinggi. Contoh, instrumen bon mempunyai risiko yang rendah berbanding saham kerana ia mempunyai aliran tunai serta tempoh matang yang telah ditetapkan. Jadi ada kepastian dari sudut wang dilaburkan untuk dikembalikan kepada pemiliknya. Oleh demikian, kalau selepas ini ada yang mencanang pulangan pelaburan mereka yang mencecah 100% atau lebih, cuba tanya berapa peratus risikonya. Lazimnya, orang akan berkongsi yang baik-baik sahaja. Jarang sekali yang mendedahkan kerugian terutama perihal prestasi pelaburan. Akhir kata, selamat melabur dan labur dengan bijak serta berhemah.

Penulis ialah Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi wacana.my)

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

8  +  1  =