Jangan lengahkan penyatuan Melayu

 Jangan lengahkan penyatuan Melayu

Oleh Mohd Kamal Ahmad

FAKTOR Melayu sangat ketara di negara ini. Apa sahaja berlaku kepada bangsa itu, akan memberi kesan – ketenteraman, hubungan etnik dan intra etnik, sosioekonomi, politik, paras kemakmuran dan banyak lagi. Semua itu akhirnya akan menjurus kepada satu ‘titik akibat yang penting’ iaitu kestabilan negara.

Penulis melontarkan soalan kepada Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia untuk mendapatkan pandangan mengenai isu ini. Soalannya, bagaimana perpecahan Melayu boleh menjejaskan keseluruhan struktur perhubungan kaum di Malaysia?

Beliau menjawab, aspek demografi atau kependudukan di Malaysia menunjukkan etnik Melayu merupakan majoriti. Asas kepada telapak perpaduan bukan sahaja hubungan antara etnik tetapi juga intra etnik. Justeru, penyatupaduan Melayu penting kerana ia akan membolehkan keadaan lebih stabil dan menentu.

Jika sebaliknya, kata Prof Sivamurugan, kesan perpecahan Melayu akan dirasai bukan sahaja oleh Melayu bahkan keseluruhan masyarakat di negara ini. Apakah hakikat ini disedari dan diinsafi oleh Melayu khususnya pemimpin parti utama – BERSATU, UMNO dan PAS? Komitmen ketiga-tiga pemimpin parti ini untuk mencari titik persamaan perlu disegerakan. Memang ada siri pertemuan khususnya pemimpin kanan kedua-dua parti, tetapi kenapa belum ada solusi dan kesepakatan untuk bersatu? Apakah yang menghalang penyatuan Melayu?

Inilah yang dimaksudkan oleh Prof Sivamurugan bahawa keseimbangan hubungan antara orang Melayu dan orang Melayu perlu wujud malah sangat relevan. Jalinan yang disebut sebagai hubungan intra etnik itu perlu dijaga, dipupuk dan diharmonikan sepanjang masa.

“Ini sama pentingnya keseimbangan hubungan orang bukan Melayu dengan orang Melayu yang akan membolehkan tanah air terus kekal aman serta sejahtera. Dalam mendepani cabaran dalam dan luar negara, perpaduan dalam mana-mana etnik dan integrasi bersama akan membolehkan cabaran itu dilalui bersama kerana yang membolehkan negara kekal kuat dan berpadu adalah penghuninya (rakyat),” katanya.

Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Ahmad  Faizal Azumu mengakui perlu pemimpin ketiga-tiga parti membawa aspirasi dan pemikiran rakyat ke arah mencari titik persamaan dan bukannya berpecah-belah.

“Dalam keadaan politik hari ini, kita mendapati jika kita menghadapi pilihan raya dan berdepan dengan rakyat secara bersendirian, berkemungkinan besar pihak yang tidak bersama kita (calon parti lawan) akan mendapat peluang yang lebih,” katanya.

Namun menerusi siri pertemuan dan komunikasi kepemimpinan BERSATU dengan UMNO serta PAS, beliau mendapati mereka mempunyai pendirian yang sama khususnya mengenai pentingnya penyatuan Melayu.

“Jadi, saya mempunyai  harapan yang tinggi, sama seperti rakyat terbanyak yang mahu melihat penyatuan ini benar-benar berlaku,” sambil membayangkan kemungkinan Melayu akan hilang kuasa jika pemimpinnya mengikut kehendak parti, menjaga kepentingan segelintir pemimpin dan tidak menitikberatkan kepentingan ummah.

“Maka akhirnya (ketika itu) bangsa Melayu akan merempat atau menagih kekuasaan yang telah jatuh ke tangan orang lain. Jadi ini perkara yang semua pemimpin Melayu perlu tengok betul-betul. Pada saya, pada waktu sekarang ini kita nak cari titik-titik persamaan bukannya belahan-belahan atau perpecahan,” katanya.

Penganalisis pertahanan dan keselamatan nasional, Datuk Dr Ruhanie Ahmad, berkata penyatuan Melayu sekarang bagi menghadapi PRU15 sangat penting. Perpecahan mereka akan memberi kesan buruk kepada kedudukan kuasa, kelangsungan bangsa dan keupayaan mempertahankan hak seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Ambil iktibar kuasa Melayu BERSATU pada zaman Pakatan Harapan yang  dibuli oleh DAP, Melayu liberal PKR dan Islamis Amanah yang sebenarnya proksi DAP. DAP tidak terima model ‘Malay-led Government’ ala Barisan Nasional,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan Melayu jangan lengah untuk memulakan penyatuan sekarang dengan melakukan gerakan penyatuan dari peringkat akar umbi. “Kalau akar umbi berjaya dalam penyatuan ini, pemimpin khususnya UMNO akan gentar dan akur  kehendak rakyat,” katanya.

Kita juga boleh renung apa yang tersurat dan tersirat menerusi ketegasan mantan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee: “…Sebab itu kita kena pilih pemimpin (biar) yang betul-betullah… yang fikir untuk orang Melayu. Takpe… kita tak aniayakan orang Cina, kita tak aniaya orang India. Mereka pun ada tempat yang boleh kita bagi dan itu tidak menjadi masalah.”

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

53  −    =  44