Jangan layan kenyataan Nur Jazlan – BERSATU JB

 Jangan layan kenyataan Nur Jazlan – BERSATU JB

Razrul Anwar Rusli,

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 20 Feb: Parti BERSATU Johor tidak perlu melayan kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa parti itu tidak akan memberi laluan kepada Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Timbalan BERSATU Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli menyifatkan kenyataan tersebut hanya pandangan peribadi Nur Jazlan dan bukan pendirian parti.

Beliau menegaskan, Jazlan tidak wajar mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana hanya akan memecahbelahkan perpaduan sedia ada antara kedua-dua terutamanya di peringkat akar umbi.

“Hubungan BERSATU Johor dengan UMNO Johor di bawah kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar Johor amat baik dan perlu diteruskan demi kepentingan Bangsa Johor dan negeri ini.

“Diharapkan semua pihak di peringkat akar umbi kedua-dua parti akan meneruskan kerjasama. Jika ada sebarang isu yang timbul, biarkan pucuk pimpinan menanganinya dengan bijaksana dan semangat setiakawan,” katanya selepas menyerahkan sumbangan pada Program Mari Kembali Ke Sekolah Norma Baharu di Taman Nong Chik, Johor Bahru, hari ini.

Sumbangan beg sekolah, cecair nyah kuman dan wang tunai itu adalah daripada beliau, Biro Ekonomi Bersatu Johor Bahru, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan IKS Mart kepada 120 murid daripada keluarga B40 di sekitar Larkin.

Turut hadir, Pengerusi Srikandi Muda Negeri Johor, Nur Najihah Abd Halim dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Badan Bertindak Bersatu Bahagian Johor Bahru, Datuk Jemale Paiman.

Semalam Nur Jazlan berkata, UMNO Johor tidak akan memberi laluan kepada BERSATU sebaliknya tetap dengan pendirian untuk tidak sesekali menyerahkan kesemua kerusi yang ditandingi mereka kepada BERSATU pada PRU-15.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, UMNO Johor hanya akan memberi laluan kepada kerusi Parlimen Pagoh untuk ditandingi Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala kerusi lain BERSATU perlu ‘berlawan’ dengan UMNO pula.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

45  −    =  44