Jangan jadikan pelajar tebusan dengan vaksin

 Jangan jadikan pelajar tebusan dengan vaksin

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Cadangan memberikan vaksin kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 adalah langkah yang baik.

Namun, kerajaan diingatkan supaya tidak menjadikan pelajar sebagai ‘tebusan’ dalam usaha mencapai imuniti kelompok menerusi program vaksinasi kebangsaan.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, walaupun menyedari kepentingan vaksin, pelajar dan ibubapa harus diberi pilihan.

Datin Noor Azimah Abdul Rahim

“Mereka tidak seharusnya dipaksa, sedangkan vaksin tidak wajib kepada golongan dewasa, mengapa memberi tekanan kepada pelajar dan ibubapa,” katanya kepada Wacana.my hari ini.

Memberi contoh pelajar Universiti Malaya yang dihalang menduduki peperiksaan kerana belum mendapatkan vaksin, Azimah mempersoal tindakan memberikan vaksin kepada calon SPM dan STPM.

“Adakah mereka akan diwajibkan mengambil vaksin, dan jika mereka enggan adakah mereka juga akan dihalang menduduki peperiksaan, ini tidak munasabah dan seharusnya pilihan itu diberi kepada ibubapa dan pelajar bukannya dipaksa,” katanya.

Azimah diminta mengulas kenyataan Menteri Kanan Pendidikan dan Menteri Penyelaras Program Vaksinasi negara semalam.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook semalam memaklumkan, cadangan agar pelajar kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk divaksin dipersetujui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang dipengerusikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Tambah beliau, pelajar kelas peperiksaan khususnya yang bakal menduduki SPM dan STPM 2021 akan diberi keutamaan bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Sementara itu, Khairy berkata suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech itu akan diadakan di sekolah untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akhir bulan depan.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

61  +    =  70