‘Jangan gopoh, tetapkan matlamat sebelum tubuh akta anti lompat parti’

 ‘Jangan gopoh, tetapkan matlamat sebelum tubuh akta anti lompat parti’

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR, 5 Sept — Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali menasihatkan supaya keputusan untuk menubuhkan akta anti lompat parti atau ‘Recall Election’ yang akan diusulkan di Parlimen tidak dibuat secara gopoh.

Beliau berkata, sebaliknya perkara tersebut perlu dirujuk dahulu kepada pengamal undang-undang dan pihak berkepentingan bagi menetapkan dan memastikan matlamat sebenar undang-undang tersebut.

Jelas Ibrahim, sekiranya tindakan gopoh diambil, ditakuti pelbagai masalah lain akan timbul pada masa hadapan.

“Saya nasihatkan, sebelum isu ini hendak diketengahkan dan diluluskan di Parlimen, jangan ambil tindakan gopoh.

“Cari semua pihak yag berkepentingan, pengamal undang-undang, bincang habis-habis dari sudut perlembagaan, kebebasan bersuara dan paling penting adalah berbincang mengenai matlamat utama undang-undang ini.

“Kalau matlamat tidak jelas, lebih banyak masalah akan timbul di masa hadapan,” katanya dalam program Pentas Wacana yang disiarkan secara dalam talian di saluran YouTube dan Facebook Wacana.my pada Sabtu.

Menurut Ibrahim, fenomena lompat parti sudah berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan lagi dan sekiranya akta tersebut ditubuhkan hanya sekadar untuk menghukum seseorang ahli politik lompat parti demi kepentingan diri, beliau mencadangkan supaya meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Kalau nak bercakap tentang akta anti lompat parti ini hanya sekadar untuk menghukum ahli politik yang lompat parti demi kepentingan sendiri, mengejar jawatan dan sebagainya, saya cadangkan pinda Akta Kesalahan Pilihan Raya sahaja.

“Kalau ahli Parlimen itu buat macam ini (lompat parti), automatik gugur dan adakan Pilihan Raya Kecil, itu lebih mudah,” katanya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *