Jangan buat ‘kerja politik’ untuk rosakkan penyatuan Melayu

 Jangan buat ‘kerja politik’ untuk rosakkan penyatuan Melayu

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR,  9 Feb:  Semua pihak perlu bersikap terbuka dengan menerima hakikat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan mengakui kerajaan hari ini adalah kerajaan Melayu.

Justeru, kata mantan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, dalam keadaan sekarang adalah tidak wajar ada kelompok pemimpin tertentu yang hendak menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri dan menjatuhkan kerajaan yang beliau diterajui.

Beliau berkata, ketegasan dalam soal penyatuan Melayu tidak bertujuan mencari nama atau merebut tempat dalam politik. Sebaliknya, beliau menyuarakan kebimbangan perpecahan Melayu atas niat hendak memastikan kedudukan Melayu di negara ini selain menjaga keharmonian dan mengembalikan maruah kerana Malaysia pernah berada pada satu tahap yang sangat dihormati sebelum ini.

“Sudahlah… kalau Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri, jadi Perdana Menterilah. Sepatutnya kita satukan, kita sokonglah. Tapi dalam keadaan sekarang tak boleh (berpecah). Pandangan saya sebagai orang biasa, kita tak boleh nak tarik sokongan, nak menjatuhkan kerajaan Muhyiddin – untuk apa?

“Hari ini kerajaan Melayu. Kena terima hakikat. Jadi orang Melayu yang jadi Ahli Parlimen, peganglah dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Bila nak kerajaan Melayu (dan) hari ini kerajaan Melayu. Sampai bila kita nak sedar dan (terus) nak buat kerja-kerja yang pelik… yang merosakkkan… yang menjahanamkan?” katanya dalam satu wawancara dengan Wacana.my.

Syed Ali berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan penyatuan Melayu dan mengambil iktibar daripada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) di mana Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui pemimpin Melayu, tewas dalam pilihan raya itu.

Ditanya apakah kesudahan nasib orang Melayu selepas ini, beliau menegaskan: “Akhirnya, kalau kita sendiri dok berbalah, dok bertekak, dok berpecah menjadi banyak parti-parti politik, kita akan merempat di negara kita. Merempat!”

Bilakah perkara itu akan terjadi? “Kalau kita tak jaga, dalam masa terdekat akan berlaku. Kalau kita tak jaga! Sebab itu, kita kena sedar, janganlah dok berkelahi sama-sama kita. Kita boleh duduk semeja dan berbincang.”

Syed Ali menarik perhatian dengan meminta orang Melayu melihat pemimpin bukan Melayu terutama kaum Cina yang bersatu di bawah DAP. Prestasi parti itu dalam PRU14 lalu sangat baik dengan memenangi 42 kerusi Parlimen ketika itu.

Depa kuat. (Tetapi) orang Melayu, pecah, pecah, pecah, pecah! Satukanlah… Kalau kita ada dua (atau) tiga parti, cukuplah. Tak payah berlambak-lambak parti. Untuk apa? (Sesiapa) nak berjuang, kena buka satu parti? Untuk apa?” tegas beliau lagi.

 Menurutnya, satu-satunya yang tinggal pada orang Melayu ketika ialah kuasa politik selain mereka tidak pernah mengecapi kuasa ekonomi.

Ditanya mengenai faktor UMNO dan BERSATU dalam menjayakan penyatuan Melayu, Syed Ali berkata: “Bagi saya, UMNO dengan BERSATU dalam keadaan hari ini tidak boleh berkelahi, tak boleh tarik sokongan,  tak boleh jahanamkan pentadbiran pada masa ini. Kalau masih tak belajar dari PRU14, kita akan dapat akibatnya waktu PRU15.

Satu lagi perkara yang kritikal dan menjadi faktor penentu kuasa Melayu ialah bagaimana pemimpin Melayu menghadapi PRU15 dalam konteks perpaduan Melayu dan Islam. Mengulas perkara ini, Syed berkata, gagasan Perpaduan Nasional yang menggabungkan BERSATU, UMNO dan PAS perlu berbincang  dengan bijak dan strategik dalam soal pembahagian kerusi yang menguntungkan semua pihak.

“Dalam soal pembahagian apa-apa pun, tak semua akan puas hati. Jadi carilah titik permulaan dan berkorbanlah. Kalau kita tak berkorban, yang akan jadi korban akhirnya ialah orang Melayu. Tengok saja DAP, mereka solid,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

39  +    =  42