Jangan biarkan isu kartel polis — Parti MUDA

 Jangan biarkan isu kartel polis — Parti MUDA

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Isu ‘kartel’ polis yang ingin menjatuhkan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencetuskan kebimbangan kepada ahli Parti MUDA.

Tarmizi Anuwar

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat, Tarmizi Anuwar berkata pihaknya amat bimbang dengan kenyataan KPN pada 18 Mac lalu, yang turut mengatakan terdapat gejala rasuah dalam PDRM yang pernah berleluasa.

“Pendedahan ini sangat berat dan mencemaskan kerana menunjukkan adanya tindakan dan proses rasuah yang membarah sehingga mempengaruhi gerak kerja dan proses membuat keputusan dalam PDRM.

“PDRM adalah antara institusi yang paling utama dan penting dalam pentadbiran negara. Ia berfungsi sebagai institusi dan pasukan keselamatan untuk melindungi negara dan masyarakat Malaysia,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Tambahnya, Parti MUDA menyokong penuh usaha KPN dalam membanteras kartel yang telah membarah dalam institusi dan budaya PDRM.

Selain itu, Tarmizi menyatakan kesediaan pihaknya untuk membantu KPN dan PDRM bagi memastikan kartel ini dapat dibanteras.

“Bagi mengelakkan perkara ini berulang, Parti MUDA menuntut supaya pihak PDRM mendedahkan nama individu yang terlibat dalam kartel dan rasuah melibatkan PDRM termasuk ahli-ahli politik, dan ahli-ahli peniagaan.

“Hasil siasatan yang dijalankan harus dijadikan sebagai laporan awam yang dapat diperolehi dan dilihat oleh masyarakat Malaysia umumnya.

“Selain itu, MUDA menuntut sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat laporan ini dengan telus dan adil, dan tindakan dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam isu kartel dan rasuah,” katanya.

Selain itu, Tarmizi mengatakan, Parlimen harus dibuka semula dengan segera untuk bersidang bagi membolehkan Menteri Kementerian Dalam Negeri memberi laporan dan maklum balas yang jelas dan terbuka berkenaan usaha menjatuhkan KPN dan juga rasuah dalam PDRM, dan supaya isu ini dapat dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

48  −  39  =