• Sunday, 20 June 2021, 7:51 am

Jambu batu Unda miliki rasa yang istimewa

 Jambu batu Unda miliki rasa yang istimewa

ROMPIN, 11 Jun – Kejadian 50 pokok jambu batu hibrid Unda yang ditanam mati secara serentak dua tahun lalu menjadi pencetus inovasi penggunaan polibeg oleh seorang pekebun.

Menurut Che Soh Harun, 52, hikmah di sebalik kejadian yang berlaku itu mencetus idea untuknya mencuba teknik tanaman dalam polibeg dan kejayaan ternyata berpihak kepadanya tanpa diduga.

Katanya, kaedah yang digunakan itu bukan sahaja dapat menyelamatkan pokok baharu daripada dijangkiti penyakit akar kerana ditanam atas tapak sama. Tetapi, lebih penting peratus kesuburan pokok lebih tinggi hingga mampu mengeluarkan dalam masa singkat.

“Dalam tempuh enam hingga tujuh bulan pokok yang ditanam mengeluarkan hasil secara berperingkat dan kini sebahagian daripada 50 pokok yang ditanam berbuah. Kualiti serta saiz buah juga lebih baik.

“Untuk menghasilkan pokok jambu batu Unda yang terbaik penggunaan baja dan siraman perlu diberi perhatian sepenuhnya, pokok tidak akan berbuah lebat sekiranya dua faktor berkenaan gagal dilakukan mengikut jadual,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau kini mengusahakan projek tanaman jambu batu Unda seluas 1.2 hektar di Kampung Bukit Serdang, di sini.

Che Soh berkata, rasa manis dan rangup dimakan serta saiz buah yang besar menjadikan jambu batu Unda dihasilkanya mendapat permintaan begitu menggalakan daripada pengguna.

Pokok jambu batu Unda mengeluarkan hasil sepanjang tahun dan memberi pulangan menguntungkan. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

Katanya, pokok jambu yang dihasilkan menerusi kacukan jenis Lohan dan GU8 ini mampu menghasilkan buah sepanjang tahun selepas matang dengan setiap pokok mampu mengeluar buah antara 100 hingga 200 biji setiap setahun.

Menurutnya, mengusahakan tanaman jambu batu Unda mampu memberi pulangan menguntungkan jika dilakukan bersungguh-sungguh dan mengikut jadual kerja membabitkan aktiviti membaja, memangkas dan meracun.

“Pokok jambu batu Unda akan mengeluarkan hasil apabila mencapai usia setahun setengah hingga dua tahun bergantung kepada penjagaan, kesuburan dan kadar kelembapan tanah.

“Kemuncak pengeluaran buah ketika pokok berusia lapan tahun. Ketika itu pokok mampu mengeluarkan hasil sehingga 45 tan membabitkan kawasan seluas 1.2 hektar.

Purata berat buah antara 800 gram hingga 1.8 kilogram (kg) sebiji,” katanya yang kini turut mengusaha ladang jambu batu Unda secara usaha sama dengan rakannya di Gua Musang, Kelantan.

Che Soh menambah, jambu batu Unda dibahagikan kepada tiga gred iaitu A, B, C dan GoldĀ bergantung kepada saiz dan kualiti. Harga pasaran semasa antara RM6 hingga RM8 sekilogram.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata ini, bagi memenuhi permintaan pekebun, dia juga menghasilkan anak pokok jambu menggunakan teknik tut yang dijual dengan harga RM15 hingga RM20 sepokok mengikut saiz.

Katanya, aktiviti jualan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan dengan cara jual terus kepada pembeli dengan kaedah ‘cash on delivery’ (COD) atau bayar selepas terima dan pembeli datang ke kebun.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *