Jamal Nasir, Ahmad Yusof kecewa tak terpilih anggotai Kelab Abad FIFA

 Jamal Nasir, Ahmad Yusof kecewa tak terpilih anggotai Kelab Abad FIFA

Jamal (lima kiri) dan Ahmad (dua kiri) bersama pemain kebangsaan lain ketika menerima Keanggotaan Kelab Abad AFC pada 1999. – Foto: Ihsan Datuk Jamal Nasir

KUANTAN, 28 Ogos — Perasaan kecewa dirasakan dua bekas pemain skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail dan Ahmad Yusof apabila mereka tidak tersenarai dalam keanggotaan Kelab Abad FIFA.

Selepas berjuang lebih 100 perlawanan sepanjang karier bersama pasukan Harimau Malaya namun pengiraan jumlah perlawanan dilakukan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengiktiraf perlawanan berstatus A membuatkan dua bekas pemain pertahanan Pahang itu terlepas.

Bagi Jamal Nasir, walaupun tidak terlalu terkilan kerana gagal tersenarai dalam keanggotaan Kelab Abad FIFA namun rasa kecewa tetap dirasakan di hati kecilnya.

Beliau dan Ahmad termasuk enam pemain kebangsaan lain pada 1999 telah mendapat pengiktirafan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai anggota Kelab Abad AFC.

“Saya agak terkejut juga apabila dimaklumkan tidak berpeluang untuk tersenarai sebagai keanggotaan Kelab Abad FIFA kerana tidak menepati syarat jumlah perlawanan di pentas antarabangsa.

“Sedangkan saya 111 kali beraksi bersama pasukan negara di pentas antarabangsa, sepatutnya jumlah itu sudah cukup bagi memenuhi syarat ditetapkan FIFA.

“Namun itu bukan rezeki saya untuk terpilih anggota Kelab Abad FIFA, hanya memadai sebagai anggota Kelab Abad AFC sahaja,” katanya dihubungi, di sini.

Beliau berkata, mungkin pengiraan jumlah perlawanan antarabangsa antara AFC dan FIFA tidak sama terutama membabitkan perlawanan berstatus A hingga menyebabkannya tidak berpeluang menganggotai Kelab Abad FIFA.

Jamal Nasir menambah, difahamkan hanya enam rakannya Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Shukor Salleh, Zainal Abidin Hassan, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan R Arumugam tersenarai sebagai anggota Kelab Abad FIFA.

“Saya menerima dengan hati yang terbuka sebarang keputusan daripada FIFA, mungkin tak ada rezeki,” katanya.

Sementara itu, Ahmad turut kecewa terutama selepas terpilih anggota Kelab Abad AFC sebelum ini, dengan rekod bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa sebanyak 103 perlawanan.

“Rezeki saya hanya sebagai anggota Kelab Abad AFC sahaja, mungkin di peringkat FIFA saya belum layak.

“Bagaimanapun, saya berbangga menjadi antara lapan pemain kebangsaan yang berjaya terpilih sebagai anggota Kelab Abad AFC,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

27  −  22  =