Jalan Melaka, Negeri Sembilan habis tenggelam

 Jalan Melaka, Negeri Sembilan habis tenggelam

MASJID TANAH, 3 Jan 2022 – Jalan utama menghubungkan Melaka dengan Negeri Sembilan di Lubok Cina, di sini hari ini masih tidak boleh dilalui kenderaan ringan akibat banjir.

Jalan Lubok Cina, di sini ke Kampung Nerambai, Rembau Negeri Sembilan, masih dinaiki air setinggi kira-kira satu meter, sekali gus menyebabkan ia tidak boleh dilalui kenderaan ringan sejak pagi semalam.

Walaupun hari ini tiada hujan lebat, laluan itu masih dinaiki air dan arus deras, sekali gus membahayakan kenderaan ringan.

Setakat jam 11 pagi ini ia hanya mampu dilalui kenderaan berat, selain kenderaan pacuan empat roda.

Ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Jaafar Atan, 60, berkata Sungai Rembau melimpah mulai awal pagi kelmarin dan menyebabkan banjir di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina.

“Laluan itu dinaiki air mulai jam 7 pagi semalam dan surut sedikit pada petang semalam tetapi pagi ini naik semula,” katanya ketika ditemui di jalan berkenaan hari ini.

Jaafar (kanan) berkata sesuatu kepada pengguna jalan
raya di laluan Melaka-Negeri Sembilan di Lubok Cina, Masjid
Tanah yang dilanda banjir.

Dia berkata, tebing Sungai Berembang yang runtuh akibat banjir besar pada 18 Disember lalu masih dalam peringkat pembinaan semula.

Katanya, ketiadaan tebing itu menyebabkan arus deras Sungai Rembau membanjiri Kampung Telok Berembang dan menenggelamkan perahu nelayan di Pangkalan Nelayan Telok Berembang dan Kampung Ramuan Cina Kecil.

Idris memerhatikan Sungai Rembau yang melimpah di Lubok
Cina, Masjid Tanah

Pengguna jalan raya, Idris Mahad, 39, berkata perjalanannya dari Klebang untuk ke tempat kerja di Seremban terhenti di laluan Lubok Cina-Kampung Nerambai.

“Saya ada dengar air sudah naik di laluan ini tetapi tidak menyangka setinggi kira-kira satu meter dan saya tidak berani untuk meredah air dengan menunggang motosikal,” katanya.

Dia berkata, pengalaman meredah banjir di laluan yang sama tiga tahun lalu mengajarnya supaya tidak mengharung air yang tinggi.

Katanya, ketika itu enjin motosikalnya tiba-tiba terhenti akibat ekzos dimasuki air dan dia terpaksa menolak kenderaannya hingga melepasi banjir.

Sehubungan itu, dia terpaksa menunggu hingga air surut Sebelum meneruskan perjalanan ke Seremban atau memohon cuti kecemasan hari ini.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

39  −    =  33