Jakoa tak jemu pujuk Orang Asli ambil vaksin COVID-19

 Jakoa tak jemu pujuk Orang Asli ambil vaksin COVID-19

KUANTAN: Seramai 46,024 masyarakat Orang Asli di 11 daerah di negeri ini telah selesai menerima dua dos vaksin COVID-19 yang disediakan kerajaan secara berperingkat sejak awal tahun lalu.


Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi, berkata, terdapat seramai 86,532 golongan remaja dan dewasa termasuk warga emas Orang Asli layak menerima suntikan, seramai 3,989 orang tidak berminat menerima vaksin selebihnya hanya menerima satu dos sahaja.


Menurutnya, seramai 1,816 orang telah menerima dos ketiga atau penggalak, mereka tampil secara sukarela apabila diadakan pemberian dos penggalak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


“Kita tidak pernah jemu dan berputus asa untuk terus memujuk masyarakat Orang Asli di kawasan pendalaman untuk menerima vaksin COVID-19 yang disediakan kerajaan secara berterusan di pusat kesihatan terpilih.


“Program masuk kampung pendalaman tetap terus dilakukan oleh pegawai KKM dan Jakoa untuk memberi vaksin COVID-19, minggu lalu program berkenaan diadakan di Pos Lenjang, Lipis,” katanya, di sini hari ini.

Petugas barisan hadapan terdiri daripada masyarakat Orang Asli menerima suntikan dos penggalak di Muadzam Shah.


Beliau berkata, tumpuan pemberian dos penggalak turut membabitkan petugas di barisan hadapan terdiri daripada golongan muda Orang Asli yang terbabit membantu jabatan itu untuk melaksanakan pelbagai program membabitkan Orang Asli.


Johari berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jakoa Pahang Volunteer Team (JPVT) dalam usaha memujuk masyarakat Orang Asli untuk menerima vaksin COVID-19 termasuk dos penggalak.
Tambahnya lagi, daerah Pekan mencatat jumlah penerima vaksi teramai iaitu 8,279 orang diikuti Lipis seramai 7,555 orang, ketiga Muadzam Shah (4,913) dan keempat Rompin (4,659).


“Pengaruh berita yang tidak benar melalui media sosial kini menjadi cabaran buat Jakoa untuk memujuk Orang Asli bagi menerima vaksin COVID-19 terutama membabitkan dos penggalak.


“Kita akan melakukan pelbagai kaedah untuk memujuk masyarakat Orang Asli terutama di kawasan pendalaman untuk menerima vaksin COVID-19 secara sukarela, Program Outreach Vaksinasi (POV) COVID-19 yang dilancarkan 16 Jun tahun lalu tetap diteruskan.


“Sokongan kakitangan dan pegawai KKM kemuncak kepada kejayaan memberi vaksinasi kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  4