Jade Marvel cadang penempatan persendirian sehingga 20 peratus saham terbitan

 Jade Marvel cadang penempatan persendirian sehingga 20 peratus saham terbitan

KUALA LUMPUR, 12 Okt — Jade Marvel Group Bhd (JMGB) bercadang untuk melaksanakan penempatan persendirian sehingga 20 peratus daripada jumlah saham terbitan JMGB kepada pelabur pihak ketiga yang akan dikenal pasti.

Setakat 4 Oktober 2021, ia berkata modal saham terbitan terbaru JMGB adalah kira-kira RM135.19 juta yang terdiri daripada 278.92 juta saham, 20 peratus saham tersebut merangkumi 55.78 juta.

Harga terbitan saham penempatan itu akan ditentukan dan ditetapkan oleh Lembaga Pengarah pada tarikh ditetapkan kelak selepas menerima semua kelulusan yang relevan untuk cadangan penempatan persendirian, ia dijangka dapat mengumpulkan sehingga RM22.42 juta.

“Hasil tersebut akan digunakan oleh JMGB dan anak-anak syarikatnya untuk pelaburan baharu, peluang perniagaan dalam industri makanan sejuk beku; pelaburan dan peluang masa depan yang berdaya maju; anggaran perbelanjaan untuk penempatan persendirian yang dicadangkan; dan modal kerja kumpulan itu,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pada Selasa.

Syarikat itu juga berkata pelaksanaan itu akan membolehkan JMGB mengumpulkan dana tambahan tanpa menanggung kos faedah berbanding dengan pinjaman bank konvensional, menyediakan alternatif pengumpulan dana yang daripada pasaran modal dan memperkukuhkan dana serta asas modal pemegang sahamnya.

Mengenai prospek, JMGB Group telah memulakan beberapa strategi dan rancangan perniagaan baharu yang melibatkan usaha sama yang dicadangkan dan pengembangan perniagaan ke dalam perniagaan pinjaman wang.

“Berdasarkan kepada pemulihan dalam industri makanan dan minuman serta peluang pelaburan di sektor pemprosesan makanan dan pemulihan serta kekuatan industri pinjaman wang, Lembaga Pengarah telah memperuntukkan RM6 juta dan RM6.34 juta ke dalam peluang pelaburan baharu industri pemprosesan makanan sejuk beku, usaha sama yang dicadangkan dan modal kerja untuk perniagaan pinjaman wang,” katanya.

Syarikat itu berkata ia optimis terhadap sumbangan kewangan yang mungkin dihasilkan daripada strategi dan rancangan perniagaan baharu itu untuk kumpulan JMGB.

“Sekiranya usaha sama yang dicadangkan tidak tercapai, Lembaga Pengarah akan menyalurkan hasil diperuntukkan untuk membiayai pelaburan yang layak pada masa depan, sama ada dalam aktiviti perniagaan yang sama daripada kumpulan JMGB atau dalam kegiatan perniagaan yang berbeza,” katanya.

Selain itu, JMGB berkata sehingga RM10 juta hasil yang diperoleh daripada penempatan persendirian yang dicadangkan itu akan digunakan untuk membiayai perniagaan berpotensi yang sesuai dan dapat dilaksanakan dalam tempoh 24 bulan selepas selesai pelaksanaan tersebut.

Pada penutupan pasaran, harga saham JMGB diniagakan satu sen lebih rendah pada 59 sen dengan 1.75 juta saham diniagakan.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *