• Sunday, 20 June 2021, 12:03 pm

Jabatan Penerangan perlu lebih efektif – Bersatu Pendang

 Jabatan Penerangan perlu lebih efektif – Bersatu Pendang

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 11 Jun. – Walaupun sudah setahun pandemik COVID-19 melanda negara kita diikuti dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP), masih ramai rakyat Malaysia yang keliru dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Walaupun majoriti daripada rakyat telah membiasakan diri dengan pemakaian pelitup muka, masih ramai yang keliru bukan sahaja dari segi SOP, malah ada juga yang semakin tidak peduli tentang bahayanya penyakit ini. Selain itu, masyarakat sering juga tertipu dengan cerita-cerita palsu dan teori konspirasi yang dibawa oleh golongan anti-vaksin.

Abdul Razak Khamis

Dalam era di mana informasi berada di hujung jari, Ketua Bahagian Bersatu Pendang, Abdul Razak Khamis menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk menjadi lebih proaktif dan efektif dalam memainkan peranannya sebagai penyampai dasar kerajaan dan maklumat terkini kepada masyarakat.

“KKMM perlu memainkan peranan yang lebih banyak dalam menyampaikan maklumat terkini dan dasar kerajaan kepada masyarakat dengan sahih, tepat, cepat, jelas dan berkesan menerusi media elektronik, cetak dan komunikasi bersemuka, selari dengan fungsi utamanya sebagai pemberi penerangan.

“Walaupun dijenamakan semula daripada Kementerian Penerangan ke KKMM, fungsi serta piagam kementerian ini masih lagi sama iaitu memberi penerangan dan penjelasan tentang sesuatu,” katanya kepada Wacana.my.

Menurut Abdul Razak, KKMM perlu menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat dan sebaliknya seperti mana ketika negara berdepan ancaman gerila Parti Komunis Malaya (PKM), Konfrantasi Malaysia-Indonesia, Tragedi 13 Mei 1969, Krisis Perlembagaan dan Reformasi 1998.

“Bayangkan pada zaman tanpa telefon pintar, internet, media sosial dan sebarang medium komunikasi canggih lain, kementerian ini mampu mencegah penyakit taun atau kolera pada awal tahun 1970-an melalui kempen yang hanya menggunakan radio, surat khabar dan wayang pacak.

“Begitu berkesannya kempen itu sehingga makanan tidak lagi dibiarkan terdedah dan kami budak-budak sekolah tidak berani minum air yang tidak dimasak,” katanya.

Kata beliau, walaupun Kementerian Kesihatan merupakan penggerak utama kempen itu, namun yang menjayakannya dan membawanya ke akar umbi dan menyuntik kefahaman umum tentang bahaya penyakit berkenaan adalah Kementerian Penerangan.

Tegas beliau, tiada pihak yang lebih layak untuk memperjelaskan segala kecelaruan yang dihadapi negara sekarang selain Kementerian Penerangan atau KKMM.

“Kita tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan. Mereka sudah cukup dibebankan dengan tugas-tugas yang sangat mencabar, maka urusan memberi penerangan dan kesedaran tentang COVID-19 harus dipikul oleh pihak lain. Dan sekali lagi ditegaskan, tiada pihak yang lebih layak selain Kementeri Penerangan,” kata Abdul Razak.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa kementerian ini tidak sepatutnya dikalahkan oleh pengaruh teknologi komunikasi moden, termasuk media sosial, yang dikawal oleh KKMM sendiri.

Mungkin perubahan nama dan skop tugasannya yang terlalu luas menjadikan kementerian itu hilang bisanya yang kini lebih cenderung dilihat sebagai kementerian yang berkaitan dengan line telefon dan data internet berbanding sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dengan rakyat.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *