‘Itu bukan suara saya’ – Idris

 ‘Itu bukan suara saya’ – Idris

Datuk Seri Idris Haron

MELAKA, 12 Okt — Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron hari ini menafikan rakaman perbualan telefon dengan seorang pemimpin kanan kerajaan Persekutuan adalah suaranya.

Beliau menegaskan tidak pernah menghubungi pemimpin terbabit atau sebaliknya dan sama sekali tidak pernah tahu-menahu mengenai rakaman perbualan itu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kononnya suara dalam rakaman itu adalah suara saya kerana saya tidak pernah menghubungi orang itu atau orang itu pun tidak menghubungi saya.

“Macam mana boleh timbul rakaman itu, saya pun tidak tahu, tetapi yang pasti ialah bukan saya orang yang ada dalam perbualan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu bagaimanapun mengakui sudah mendengar rakaman perbualan berdurasi 7.04 minit berkenaan melalui media sosial.

Kandungan perbualan dua lelaki dalam rakaman tular itu, antara lain mengenai situasi politik di negeri ini yang menyaksikan kerajaan negeri ditunjangi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tumbang.

Pada 4 Oktober lalu, Idris bersama tiga bekas ADUN lain, masing-masing daripada UMNO, BERSATU dan Bebas mengumumkan menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

ADUN lain ialah Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu). Keahlian Idris dan Nor Azman dalam UMNO sudah digugurkan, begitu juga keahlian Noor Effandi dalam BERSATU.

Idris juga berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad, sesiapa yang terbabit mendedahkan rahsia Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Memang sepatutnya sesiapa yang berbuat demikian didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi tetapi kalau setakat mempersoalkan mengapa keputusan yang sudah dibuat dalam MMKN ditarik balik sesuka hati, itu bukan rahsia.

“Yang dikatakan rahsia MMKN ialah jika ada surat atau dokumen atau seumpamanya yang dibocorkan kepada pihak tertentu. Kalau mempersoalkan mengenai pembentukan kerajaan sementara, itu bukanlah rahsia MMKN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Kamel menjalankan tugas dengan baik dan cekap serta tidak dipengaruhi mana-mana pihak yang didakwanya mempunyai kepentingan.

Idris berkata, kenyataannya dan tiga bekas ADUN terbabit sebelum ini hanya berkisar sekitar aspek ketidakpuasan hati bagaimana kerajaan sementara mampu dibentuk sedangkan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Sulaiman sudah tidak wujud lagi.

Semalam, Kamel dilaporkan menafikan dakwaan Idris, kononnya terdapat campur tangan pihak ketiga dalam urusan dan keputusan MMKN, sebaliknya menegaskan, semua keputusan dalam mesyuarat berkenaan dibuat secara bersama dan tidak benar segala keputusan perlu dirujuk kepada pihak ketiga.

Kamel juga dipetik berkata, setiap ahli MMKN sudah mengangkat sumpah kerahsiaan dan kerajaan negeri sedang meneliti sama ada sumpah itu dilanggar sebelum memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *