• Monday, 21 June 2021, 2:49 am

Isu vaksin: Polis akan rekod keterangan Ketua Menteri P.Pinang

 Isu vaksin: Polis akan rekod keterangan Ketua Menteri P.Pinang

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan

GEORGE TOWN, 24 Mei — Polis tidak menolak kemungkinan untuk merekodkan keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bagi membantu siasatan berhubung individu kononnya menawarkan sumbangan vaksin COVID-19 keluaran Sinovac untuk Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata setakat ini tujuh individu termasuk lelaki yang menulis surat untuk menawarkan vaksin tersebut kepada Pulau Pinang, telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi membantu siasatan antaranya merekodkan keterangan beberapa lagi pihak termasuk mungkin juga Ketua Menteri atau pegawai di pejabatnya untuk lengkapkan kertas siasatan kes tersebut.

“Setakat ini lelaki yang menawarkan sumbangan vaksin itu telah direkodkan keterangan dan dia yang berusia 50-an mengaku surat tersebut ditulis sendiri olehnya malah tandatangan yang terdapat surat berkenaan juga dia yang tandatangan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata polis juga sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung syarikat Xintai Development Enterprise Ltd bagi mengesahkan sama ada memang betul syarikat tersebut menawarkan sumbangan vaksin berkenaan.

Sahabudin berkata menurut lelaki itu, dia mengaku wakil syarikat tersebut namun tiada surat lantikan yang menunjukkan dia memang mempunyai kaitan dengan syarikat tersebut kerana mengaku dilantik secara lisan sahaja.

“Siasatan lanjut mungkin mengambil sedikit masa kerana perlu mendapatkan maklumat berhubung syarikat itu di Hong Kong dan polis juga perlu meneliti beberapa perkara serta maklumat berhubung dengan siasatan kes tersebut,” katanya.

Katanya kes itu disiasat itu mengikut Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan.

Selasa lepas, kerajaan negeri meminta Kementerian Kesihatan (KKM) memberi kelulusan menerima sumbangan dua juta dos vaksin COVID-19 dari syarikat swasta, selepas permohonan pertama mereka ditolak.

Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, mengesahkan derma dua juta dos vaksin COVID-19 oleh syarikat berpangkalan di Hong Kong itu tawaran palsu.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *