Isu Vaksin Artis : Zed Zaidi terima hentaman netizen

 Isu Vaksin Artis : Zed Zaidi terima hentaman netizen

Zed Zaidi, Presiden SENIMAN

Oleh Zuan Azmi

SEJAK semalam tular pelbagai respon dan pandangan netizen mengenai cadangan Presiden Seniman, Zed Zaidi untuk memberi keutamaan kepada golongan artis dan selebriti untuk divaksin terlebih dahulu.

Tinjauan Wacana.my mendapati rata-rata orang ramai tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Menurut Aizat Shahidan, artis dan orang ramai tidak ada bezanya, kedua-dua melakukan rutin pekerjaan dan rutin harian yang lebih kurang sama cuma bidang kerja sahaja berbeza. Kedua-dua terdedah kepada jangkitan adalah sama.

Menurut Imran Shamsuden pula, lebih baik peluang vaksinasi ini berikan pada mereka yang bekerja dalam bidang perlancongan sebagai barisan hadapan seperti pekerja hotel atau penyambut tetamu kerana mereka menggerakkan sektor pelancongan yang telah lama terjejas dari beri peluang kepada golongan artis yang sama nilainya dengan rakyat yang lain.

Khairul Khairi pula berpendapat, golongan artis perlu menunggu giliran seperti orang lain, beri peluang pada golongan yang penting terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan negara, ahli parlimen dan sebagainya, tak perlu potong barisan, tetapi kalau artis berusia mungkin boleh diberi pengecualian.

Jerfy Zaki pula berpendapat bahawa kakitangan di lapangan terbang harus diberi keutamaan kerana mereka juga terdedah jangkitan kerana berurusan dengan dari orang yang datang dari pelbagai tempat.

Bagi Syahmi Yahya pula, kluster sedia ada perlu diberi keutamaan perlu turunkan kadar jangkitan yang tinggi, warga tua dan bayi agak berisiko kerana kesan sampingan itu masih diperingkat awal.

Menjawab pelbagai reaksi dan komen dari orang ramai, Zed Zaidi berkata cadangan tersebut hanyalah satu cadangan yang tidak rasmi, ia adalah untuk menjawab soalan dari pihak media yang bertanya kepadanya dan ia telah disalah tafsir oleh segelintir pembaca.

Kata Zed, sebenarnya cadangan tersebut dibuat untuk membantu menjayakan program vaksinasi yang sedang giat dijalankan oleh kerajaan.

“Keahlian Seniman seramai 7,000 artis dan kita tidak minta semua untuk divaksin, terpulang kepada kerajaan nak beri berapa pun namun saya hanya mencadangkan kuota yang kecil sebagai contohnya 20 atau 30 kuota untuk golongan artis divaksinkan. Apabila artis ini telah divaksinkan mereka boleh menyebar dan berkongsi pengalaman dan maklumat berkaitan vaksinasi untuk meyakinkan rakyat untuk mengambil vaksin seterusnya menjayakan hasrat kerajaan ini,” katanya.

Zed tidak menafikan terdapat pelbagai golongan yang memerlukan perlu diberi keutamaan, namun ini adalah sekadar cadangan untuk membantu kerajaan dari sudut kempen vaksinasi dan kerajaan seharusnya menggunakan pengaruh besar yang ada pada golongan tersebut untuk menjayakan matlamat kerajaan mencapai 80 peratus rakyat Malaysia divaksinkan.

“Saya tak salahkan netizen, ada yang suka hentam, ada yang suka memuji dan menyokong. Kebanyakkan netizen tidak faham masalah yang berlaku dalam industri kreatif, namun saya menerima pelbagai hentaman dengan hati yang terbuka dan tiada masalah.”

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  2  =  1