• Monday, 21 June 2021, 2:34 am

Isu tular nasi ayam penyet: MBJB ambil tindakan serta-merta

 Isu tular nasi ayam penyet: MBJB ambil tindakan serta-merta

JOHOR BAHRU, 19 Mei – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual makanan di rumah secara atas talian yang telah menimbulkan kegusaran orang ramai disebabkan menggunakapakai nama perniagaan yang boleh mengelirukan pembeli.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBJB dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, tindakan segera itu susulan aduan awam yang disalurkan menerusi laman media sosial baru-baru ini.

Menurutnya, susulan penerimaan aduan tersebut, sepasukan anggota penguatkuasaan MBJB telah menjalankan siasatan semalam di lokasi terbabit dan mendapati sepasang suami isteri menjalankan aktiviti perniagaan pelbagai jenis makanan di sebuah rumah di Johor Jaya menggunakan aplikasi pemesanan makanan atas talian.

“Siasatan turut mendapati, peniaga itu tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dari MBJB untuk menjalankan aktiviti perniagaan tersebut dan menggunakan nama perniagaan yang boleh mengelirukan pembeli.

“Peniaga itu juga mempunyai SSM di atas nama syarikat yang sama dengan nama perniagaan yang dijalankan. Sehubungan itu, MBJB telah mengeluarkan satu notis amaran kepada peniaga tersebut di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MBJB) 2010 kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah daripada MBJB serta mengarahkan perniagaannya ditutup serta-merta dan mengemas barang-barang perniagaan berkaitan,” kata kenyataan itu.

MBJB turut mengarahkan semua iklan perniagaan yang dipamerkan dibuka serta-merta.

Pemantauan MBJB sehingga hari ini mendapati, perniagaan tersebut telah tidak beroperasi dan patuh kepada arahan diberikan.

Jabatan Penguatkuasaan MBJB juga akan melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan arahan yang dikeluarkan dipatuhi sepenuhnya.

“Sekiranya perniagaan tersebut didapati beroperasi, tindakan sitaan barangan akan diadakan serta-merta.

MBJB telah memanjangkan aduan ini serta laporan siasatan yang dijalankan kepada agensi bertanggungjawab seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dan Suruhanhaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tindakan susulan,” kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, MBJB mengingatkan warga bandar raya untuk memohon lesen perniagaan yang sah daripada MBJB sebelum menjalani sebarang aktiviti perniagaan makanan. Ini kerana, terdapat beberapa syarat utama lesen perniagaan yang perlu dipatuhi peniaga makanan.

Antaranya, berkaitan pengambilan suntikan typhoid bagi pencegahan penularan jangkitan typhoid atau demam kepialu yang boleh tersebar menerusi penyediaan makanan, selain pematuhan aspek kebersihan lain dan tata cara pengendalian makanan yang baik bagi membendung segala penyakit berjangkit.

Pengguna turut dinasihatkan untuk meneliti dan memilih perniagaan yang benar-benar diyakini bersih, mempunyai sijil penarafan kebersihan dari MBJB, memiliki lesen perniagaan yang sah serta mempunyai sijil taraf halal terutamanya bagi pengguna yang beragama Islam.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *