Isu tilam buruk Bomba tidak wajar dipolitikkan

 Isu tilam buruk Bomba tidak wajar dipolitikkan

Dipetik dari FB ADUN Kinrara, YB Ng Sze Han

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR 15 Feb: Bilik bersedia atau bilik ‘stand-by’ yang disediakan di balai bomba seluruh negara bukan digunakan anggota bomba untuk  tidur sebaliknya tempat berehat dan bersiap siaga sementara menunggu panggilan kecemasan seterusnya, pada waktu malam.

Dato’ Sri Mohammad Hamdan Wahid, Ketua Pengarah Bomba Malaysia

Ketua Pengarah Bomba, Dato’ Sri Mohammad Hamdan Wahid ketika dihubungi berkata, sejajar dengan Perintah Tetap JBPM, bilik ‘stand-by’ sebenarnya untuk anggota berehat sambil bersedia untuk tugasan seterusnya dan bukan seperti sebuah bilik hotel  dengan kelengkapan khas untuk tidur.

“Dalam spekfikasi baharu Balai Bomba & Penyelamat, kemudahan bilik ini disediakan dengan kelengkapan mengikut piawaian termasuk kemudahan untuk keperluan membaca, wifi, siaran televisyen, fasiliti  untuk berehat, kemudahan persalinan, mandi atau  menyegarkan badan serta peralatan riadah,” katanya kepada Wacana.my hari ini.

Mengulas laporan sebuah akhbar pada 10 Februari lalu, beliau berkata, laporan tersebut seolah-olah menggambarkan kedaifan balai bomba dan seakan-akan pihak berwajib mengabaikan keperluan anggota bomba.

“Sebenarnya jabatan pun sedang menaik taraf sesetengah balai bomba dengan bilik  rawatan bagi memberi perawatan anggota bomba yang menghadapi masalah kesihatan atau kecederaan.

“Bilik ‘stand-by’ bukan untuk mereka tidur lena dengan peralatan tidur yang selesa. Ia sekadar cukup untuk merehatkan diri , dan sekiranya melelapkan mata  pun atas kawalan pegawai penyelia, sebelum menjalankan tugas seterusnya pada waktu malam mengikut jadual tugas harian,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata, sekiranya ada kemudahan atau peralatan asas peringkat balai bomba yang perlu diselenggara dan diganti, ketua balai berkenaan hanya perlu menyalurkan surat permohonan penyelenggaraan atau penggantian kepada pengurusan JBPM Negeri yang mempunyai peruntukan mengurus untuk membuat perolehan berkenaan.

Sekiranya JBPM negeri tidak mencukupi, pihak pengurusan JBPM di peringkat Putrajaya boleh menyalurkan peruntukan berkenaan untuk menyediakan keperluan termasuk kemudahan dan kelengkapan asas seperti tilam di balai bomba yang dilaporkan minggu lalu.

“Setakat ini tiada permohonan diterima daripada balai bomba berkenaan. Mungkin anggota dan petugas di balai itu merasakan tiada keperluan untuk mereka memohon peruntukan untuk tilam baharu. Oleh itu, saya menyarankan pihak balai ini memberi input dan laporan serta permohonan sekiranya ia perlu dilupus dan digantikan,” katanya.

Minggu lalu, akhbar sama melaporkan ADUN Kinrara, YB Ng Sze Han bersimpati dengan keadaan tilam yang digunakan petugas di Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dalam keadaan usang dan koyak.

Menurut Ng di laman Facebook, beliau mahu berusaha untuk mendapatkan tilam baharu bagi  kegunaan anggota tersebut.

Sementara itu, pengasas NGO Kembara Kitchen, William Cheah  memberitahu Wacana.my, beliau tidak bersetuju bagaimana tilam dijadikan isu untuk kepentingan politik.

“Jika benar beliau mahu menggantikan tilam baharu, mengapa perlu memuat naik di laman Facebook sedangkan beliau hanya perlu ke kedai untuk membeli tilam dan menghantarnya ke balai,” katanya.

Menurut Cheah, pihaknya tidak memerlukan kebenaran sesiapa untuk menyumbangkan peralatan kepada barisan hadapan negara dan Kembara Kitchen telah banyak memberi sumbangan tanpa membuat hebahan di mana-mana platform media.

“Kita kena faham, bukan semua perkara perlu dihebahkan.  Jika betul kasihan dengan anggota bomba, bincang dengan ketua balai dan tanya mereka bagaimana anda boleh membantu meringankan beban. Pihak bomba atau barisan hadapan lain tidak pernah meminta bantuan sesiapa malah mereka yang banyak berkorban untuk negara. Jadi, apa salahnya kita sebagai rakyat membantu tanpa mementingkan publisiti?” katanya.

Untuk rekod, Kembara Kitchen telah bekerjasama dengan pasukan Bomba dan Penyelamat di beberapa negeri dan pelbagai bantuan serta kerjasama dijalankan antara kedua-dua pihak.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

89  −    =  85