• Wednesday, 16 June 2021, 6:17 am

Isu tahunan jadi duri dalam sektor pertanian negara

 Isu tahunan jadi duri dalam sektor pertanian negara

Oleh Mohd Kamal Ahmad

Bahagian Pertama

HAMPIR saban tahun ada sahaja isu berkaitan padi di kebanyakan zon jelapang padi di seluruh negara.  Isu viariti padi. Isu benih padi tak sah. Isu bekalan air tidak disalirkan. Isu aliran air disekat. Dan, akhirnya ia melarat kepada isu-isu lain seperti subsidi padi dan baja serta input pertanian. Itu antara isu yang dilaporkan berkaitan industri padi negara setiap tahun. Yang menghairankan kenapa isu ini tidak selesai walaupun sudah berpuluh tahun berlaku?

Apakah kelemahan dalam industri padi negara? Apakah ada ketirisan di peringkat agensi, koperasi, lembaga kemajuan, orang tengah atau petani?

Isu bekalan ayam dan barangan musim perayaan juga tidak pernah selesai saban tahun. Pengguna sering dibelenggu harga barang yang mahal sehingga tidak masuk akal. Sekali lagi muncul persoalan sama – apakah puncanya? Kelemahan dasar dan penguatkuasaan, atau sikap tamak dalam mengaut keuntungan berlebihan, ataupun permainan pembekal, pemborong dan peruncit?

Harga barang memang berkait antara bekalan dan permintaan. Tetapi kenapa contohnya, harga mineral sekarang jauh lebih mahal daripada harga petrol bagi sukatan yang sama?  Kenapa tidak ada pihak (kerajaan, ahli politik mahupun persatuan pengguna) yang ambil peduli perkara ini dan membiarkan pengeluar air mineral terus meneguk untung berlebihan. Sedangkan, rasionalnya harga air mineral tidak wajar semahal itu di negara yang hujan sepanjang tahun ini.

Antara isu yang hendak disorot di sini ialah bagaimana negara hendak mencapai sasaran atau objektif Dasar Sekuriti Makanan Negara jika isu tahunan yang asas ini tidak mampu diurus serta ditangani? Selain itu, soal harga dan bekalan dikawal pihak pengeluar, pengilang, pembekal, pengedar dan peruncit tetapi bagai tiada kawalan kerajaan atas dasar negara mengamalkan pasaran terbuka.

Jika produk makanan asas seperti padi (beras), ayam dan ratusan barangan pengguna lain terus dibelenggu isu bekalan, kenaikan harga, monopoli serta kartel, bagaimana Dasar Sekuriti Makanan Kebangsaan boleh dilaksana dan dijayakan?

Wacana.my mendapatkan pandangan Ketua Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan, Akademi Profesor Malaysia, Prof Datuk Dr Fatimah Mohamed Arshad, mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara.

Prof Datuk Dr Fatimah Mohamed Arshad

Beliau berkata, sekuriti makanan wujud apabila semua penduduk, dalam semua keadaan, memiliki akses secara fizikal dan ekonomi ke atas makanan yang selamat dan berkhasiat untuk memenuhi keperluan pemakanan mereka mengikut citara untuk hidup aktif dan sihat (mengikut World Food Summit[1], 1996). Definisi ini mendasari polisi sekuriti makanan seantero dunia.

“Empat tunggak untuk memastikan sekuriti makanan dicapai iaitu ketersediaan, akses, penggunaan dan kestabilan tiga dimensi ini,” katanya.

Terdapat dua kategori sekuriti makanan iaitu sementara (transitory) dan kronik. Sekuriti makanan sementara merujuk situasi makanan yang terjejas dalam jangka waktu singkat dan kronik merujuk situasi makanan yang terancam secara berterusan.

Berdasarkan kepada konsep di atas, dapat dirumuskan bahawa sekuriti makanan di Malaysia boleh diandaikan mencukupi tetapi tidak berdaya tahan (not resilient) dan lestari (sustainable) apabila diancam oleh krisis dan kejutan pasaran.

Ini terbukti apabila Malaysia mengalami masalah untuk mendapatkan bekalan yang mencukupi apabila berlaku krisis makanan pada 2008. Begitu juga situasi sekuriti makanan negara mudah rapuh apabila berdepan bencana alam yang serius seperti banjir, serangan penyakit dan perubahan cuaca.

Menurut Prof Dr Fatimah, serangan pandemik menyebabkan penduduk miskin bandar dan pengusaha kecil mikro kehilangan pekerjaan, lantas pendapatan yang sangat rendah dan tidak mampu untuk menyediakan pemakanan yang sihat untuk anak-anak. Sebagai contoh, kajian yang dilaksanakan oleh UNICEF[2] menunjukkan 60 peratus penghuni rumah pangsa Kuala Lumpur mengalami pengurangan pendapatan yang hanya mencapai RM1,650 sebulan.

Perbelanjaan makanan mereka di bawah pandemik pula menunjukkan peningkatan dalam penggunaan mi segera yang meningkat 40 peratus, telur (50 peratus), beras (45 peratus) dan penurunan dalam penggunaan berkhasiat seperti susu, sayur-sayuran dan buah-buahan segar dan daging.

Kajian ini bersama kajian sebelumnya oleh Kementerian Kesihatan[3] menunjukkan satu daripada lima kanan-kanak di Putrajaya dan Kuala Lumpur adalah terencat pertumbuhan fizikalnya[4]. Negeri lain seperti Kelantan melaporkan seramai 30 peratus, Terengganu dan Pahang (26 peratus), Perak, Sabah dan Sarawak (24 peratus). Pandemik mungkin akan memburukkan situasi pertumbuhan ini.

___________________________________

[1] World Food Summit 1996, Rome Declaration on World Food Security

[2] UNICEF (2019 and 2020)

[3] Kementrian Kesihatan (2016)

[4] UNICEF (2019) juga melaporkan berat badan bagi seorang daripada setiap 10 kanak-kanak yang berusia 10 tahun adalah terkurang.

_____________________________________

Beliau menambah, peratus tahap sara diri (SSL – self-sufficiency level) menunjukkan nisbah pengeluaran berbanding penggunaan dalam peratusan dan angka ini boleh memberi gambaran kasar mengenai status sekuriti makanan negara. Status SSL beberapa makanan terpilih dirumuskan dalam Rajah 1. Ternyata, kecuali telur dan ayam daging dan khinzir, semua makanan yang lain menunjukkan tahap SSL yang menurun sejak 1995 hingga 2019.

 

Ditanya mengenai halangan utama yang melambatkan pencapaian dasar ini, beliau yang juga Felo Universiti Putra Malaysia berkata, halangan itu ialah:

(i) Keutamaan polisi ke atas komoditi industri. Berbanding dengan Israel atau Belanda, Malaysia memiliki sumber alam yang sangat kaya iaitu kawasan yang luas, hujan dan sinar suria yang mencukupi, bio-diversiti kedua terkaya di dunia dan sumber manusia yang terlatih dan pertumbuhan ekonomi yang mencukupi. Tetapi sektor makanan Malaysia adalah termundur dibandingkan dengan Thailand dan Vietnam.

Namun Malaysia berjaya membangunkan sektor tanaman industri seperti kelapa sawit (nombor 2 di dunia) dan getah (nombor 7 di dunia). Ternyata, keutamaan polisi (policy priority) Malaysia adalah kepada tanaman industri dan bukan komoditi makanan. Ini terbukti (i) tahap SSL yang menurun dalam beberapa makanan utama (Rajah 1) dan (ii) kecuali telur dan daging ayam dan khinzir, Malaysia mengimport semua butir makanan dan semua input pengeluaran (baja, mesin, baka, benih, makanan ternakan, bijirin dan juga buruh) (lihat Rajah 2) untuk status import makanan terpilih negara.

 

(ii) Sokongan institusi untuk pembangunan kapasiti pengeluaran terbatas. Usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan tempatan seperti R&D dan inovasi, membangunkan teknologi tinggi untuk sektor makanan, galakan kepada PKS makanan yang tidak mencukupi dan pembangunan usahawan yang terbatas. Produktiviti, inovasi dan nilai tambah makanan tempatan adalah masih jauh lebih rendah dibandingkan dengan Thailand dan Vietnam.

 

Malaysia berpendirian, adalah lebih murah untuk mengimport daripada mengeluarkannya dalam negeri dengan andaian pendapatan eksport yang tinggi daripada kelapa sawit atau produk bukan pertanian yang lain mencukupi untuk mendorong pembangunan sektor makanan melalui kesan pengganda (multiplier effect). Namun, telahan ini tidak berlaku malahan sektor makanan negara tumbuh dengan perlahan.

 

(iii) Daya saing sektor makanan rata-rata adalah lemah. Kesan daripada (i) dan (ii) di atas adalah daya saing sektor ini yang lemah berbanding dengan kelapa sawit dan sektor bukan pembuatan yang lain. Terdapat beberapa kejayaan dalam sektor makanan negara seperti F&B, sajian, restoran dan lain-lain tetapi tidak mencukupi untuk melonjakkan sektor makanan ke tahap yang tinggi.

 

(Sambungan esok: Ikuti Bahagian Kedua mengenai kaedah memacu pencapaian Dasar Sekuriti Makanan Negara dan pentingnya pelaburan terancang dalam sektor pertanian).

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *