Isu status semasa keselamatan vaksin COVID-19 AstraZeneca

 Isu status semasa keselamatan vaksin COVID-19 AstraZeneca

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu status keselamatan penggunaan vaksin COVID-19 AstraZeneca yang tular di luar negara, kata Menterinya, Dato’ Sri Dr Adham Baba.
Beliau berkata, KKM ingin memaklumkan, vaksin COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection (MAL21036009ACZ) daripada pemegang pendaftaran AstraZeneca Sdn Bhd yang telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac 2021 adalah selamat untuk digunakan di negara ini.
Menurut beliau, data keselamatan vaksin COVID-19 AstraZeneca yang diperoleh daripada kajian klinikal setakat 4 November 2020 yang melibatkan lebih kurang 12,000 sukarelawan menunjukkan tiada kesan sampingan yang teruk dilaporkan.
“Kesan sampingan yang sering dilaporkan adalah sakit pada tempat suntikan, keletihan dan pening kepala serta dilaporkan sebagai mild atau moderate.
“Data juga menunjukkan kesan sampingan ini dilaporkan berkurang pada suntikan dos kedua berbanding dos pertama. Kajian klinikal tersebut juga merumuskan bahawa tiada sebarang isu keselamatan berkenaan kesan ke atas profil dan kandungan darah (termasuk penggumpalan darah) setelah menerima suntikan vaksin ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 17 Mac 2021, pihak syarikat AstraZeneca Sdn Bhd telah mengadakan satu perjumpaan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk menjelaskan situasi sebenar berkenaan isu keselamatan vaksin COVID-19 AstraZeneca terutamanya berkaitan dengan kesan sampingan penggumpalan darah (thromboembolic events).
Menurut pihak syarikat, kata Dr Adham, setakat 8 Mac 2021, seramai 17 juta orang awam telah menerima vaksin COVID-19 AstraZeneca di sekitar Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK).
Daripada kalangan penerima vaksin ini, terdapat 15 kes deepvein thrombosis (DVT) dan 22 kes pulmonary embolism telah dilaporkan.
“Penilaian terperinci daripada semua kes ini telah dibuat oleh pihak syarikat dan telah dirumuskan bahawa tiada sebarang bukti kukuh yang dapat mengaitkan vaksin COVID-19 AstraZeneca ke atas risiko berlakunya kes-kes thromboembolic event tersebut. Jumlah kes thromboembolic event yang dilaporkan juga adalah jauh lebih rendah berbanding dengan purata kes yang dijangka berlaku dalam saiz populasi tersebut.
“Kesimpulan ini juga telah disokong oleh pihak European Medicines Agency (EMA). Oleh itu, adalah dirumuskan bahawa vaksin COVID-19 AstraZeneca adalah selamat digunakan. Pihak KKM sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 sentiasa terjamin. Pelaporan kesan advers susulan imunisasi vaksinCOVID-19 boleh dilakukan melalui anggota kesihatan, pelaporan terus kepada NPRA laman sesawang www.npra.gov.my atau melalui aplikasi MySejahtera bagi kesan advers ringan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  1