• Monday, 21 June 2021, 2:47 am

Isu Palestin: Menang dalam kalah?

 Isu Palestin: Menang dalam kalah?

 

Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

GENCATAN senjata di antara Hamas dan rejim Yahudi pada Jumaat, 21 Mei 2021 lalu disambut oleh rakyat Gaza sebagai kemenangan sungguh pun korban nyawa rakyat Palestin berlipat kali ganda berbanding korban rakyat Yahudi. Bangunan kediaman dan pejabat hancur lebur dengan meninggalkan ribuan mangsa yang tidak mempunyai kediaman dan tempat kerja.

Orang Melayu mempunyai pepatah dalam menggambarkan situasi di Palestin setelah sebelas hari dibom dan dibedil dengan hebat iaitu ‘menang sorak, kampung tergadai’, tetapi rakyat Palestin mungkin menyeru dengan sekuat hati dan semangat yang berkubar-kubar “bahawa kami menang, tidak menyerah kalah, walau pun kami mati dan terkorban, semuanya kerana kami tidak punya bom dan pesawat pejuang, namun kami melawan bersendirian, dengan semangat dan pengorbanan yang besar,maka inilah ‘kemenangan’ kami.”

Meninjau sejarah ringkas pejuang Palestin, ketika mereka bertindak nekad menawan dua askar Israel di sempadan Lubnan dan membunuh beberapa orang lagi pada 2006, maka sebagai balasannya, Israel telah bertindak agresif mengebom Lubnan dan membunuh ribuan rakyatnya, juga secara bersendirian.

Atas dasar inilah mereka mengambil tindakan. Ternyata, mereka dapat juga mengkucar-kacirkan kekuatan tentera Israel untuk beberapa waktu, dan mengaibkan kerajaan Israel sehingga menimbulkan beberapa krisis politik di kalangan tentera dan ahli politik Israel sendiri.

Mungkin dalam situasi ini, pejuang Palestin, terutamanya dalam menjaga kedaulatan agama dan simbol agama dengan kekuatan dan pertahanan Masjid Al-Aqsa dan Baitul Maqdis, maka Malaysia sendiri bolehlah mengambil inisiatif dalam menggembelengkan kekuatan ekonomi dan politik serta undang-undang secara berhikmah untuk membantu dari segi spiritual dan kebendaan kepada perjuangan ini, tanpa mempunyai niat pencerobohan dan mencabar kekuatan negara lain.

Pejuang Palestin memerlukan sokongan moral dan kekuatan yang lain. Ini terutamanya dalam arena politik dunia yang adil dan saksama untuk berjuang dalam sempadan politik, dan hak asasi manusia mereka sendiri sebagai pemilik bumi suci ini yang sebenarnya.

Alhamdulillah, dalam mempertahankan kedaulatan negara Palestin yang terbaru ini, negara kita telah menyuarakan dengan lantang supaya perjuangan rakyat Palestin ini disambut dengan adil dan saksama, dengan sokongan negara jiran Indonesia dan Brunei Darussalam.

Negara Islam seperti negara kita yang agak bebas dan lantang bersuara ini haruslah mengambil langkah yang lebih bijaksana dalam memajukan dunia Islam dalam kepelbagaian bidang. Ini termasuk memperjuangkan hak dan maruah umat Islam seperti isu Palestin, khususnya tanah keagungan Islam, Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa.

Pada 2019, Kerajaan Malaysia dengan usaha Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah mulai mengambil langkah dengan menganjurkan satu mini Persidangan Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) dengan dihadhari ketua negara Turki, Iran dan Qatar serta ratusan pemerhati dari beberapa negara Islam seluruh dunia sebagai lambang dan langkah dinamik pertama untuk menyemarakkan semula peradaban dan tamadun Islam dalam perlbagai bidang kkekuatan dunia kini.

“Ia bukan sidang politik walaupun turut dihadiri oleh presiden, perdana menteri, menteri dan wakil beberapa negara Islam. Ia adalah dialog umat Islam sedunia yang melibatkan semua lapisan masyarakat daripada pemimpin politik kepada pemikir, cendekiawan dan aktivis masyarakat dalam pelbagai bidang. Mungkin kita tidak boleh lagi bergantung bulat-bulat kepada saluran rasmi atau cara lama yang penuh dengan protokol, birokrasi dan iri hati untuk mencari penyelesaian kepada masalah umat.” (A Kadir Jasin: Tokoh Wartawan Negara: Sidang Kemuncak KL, Platform Umat Islam, 22 Disember 2019).

Mungkin dengan perkembangan terkini yang amat kritikal dan mencabar demokrasi dunia umumnya, hal ini boleh diusahakan lagi. Ini kerana saya sendiri pernah mendengar pandangan sebahagian diplomat di Riyadh, ketika saya berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Arab Saudi, bahawa mereka melihat Malaysia dan Turki sebagai dua negara Islam yang dinamik dan maju. Kedua-duanya juga sebagai negara contoh untuk negara Islam berbilang kaum yang istimewa. Kita harus melakukan sesuatu kerana kita mempunyai kekuatan dan kemajuan sendiri di dalam dunia kini.

Kita tidak mahu setiap kali kita kalah di padang, kita akan terus melaungkan bahawa kita menang di dalam bertempik dan bersorak. Kita punya slogan sendiri, jangan menang sorak, kampung tergadai…!! Menang kampung dan negeri barulah kita bersorak sekuat-kuatnya… inilah pepatah Melayu.

Penulis ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia dan mantan Ketua Pengarah IKIM.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *