Isu Kalimah Allah : BERSATU gesa kerajaan failkan rayuan di mahkamah

 Isu Kalimah Allah : BERSATU gesa kerajaan failkan rayuan di mahkamah

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan

Oleh Suraya Ali 

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Parti BERSATU mahu kerajaan membawa isu kalimah Allah ke Mahkamah Rayuan.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, isu tersebut menyentuh sensitiviti umat Islam dalam negara kita.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan itu, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Hakim Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak Perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.

Datuk Wan Saiful Wan Jan

“Ia bukan isu baru, malahan telah lama berlegar, perundangan negara perlu mengambil kira suasana dan adat setempat (uruf). Maka dalam hal yang menyentuh sensitiviti umat Islam sebegini, ada keperluan untuk ia ditangani dengan cermat dan teliti,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan.

Katanya, menerusi komen-komen berkaitan keputusan mahkamah dalam isu kalimah Allah itu, beliau berpendapat keputusan tersebut menunjukkan dua perkara utama iaitu keperluan kes dibawa ke Mahkamah Rayuan dan ketegasan kerajaan dalam isu tersebut.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus tegas tidak akan mencampuri urusan mahkamah. Ini prinsip penting dalam negara kita dan sikap PN ini mesti diiktiraf dan dipuji,” katanya.

Selain itu, Wan Saiful mengakui telah menghubungi beberapa ahli Parlimen dalam Kabinet untuk menyuarakan pandangannya mengenai isu tersebut.

“Saya harap kita akan dapat penyelesaian terbaik,” katanya.

Pada masa sama. Wan Saiful membidas sikap tidak sensitif DAP apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memuatnaik kenyataan ‘bersyukur’ dengan keputusan Mahkamah itu tanpa memikirkan sensitiviti umat Islam dinegara ini.

‘Doa kami terjawab’, katanya ringkas disusuli pautan kepada laporan berita berkaitan keputusan mahkamah berkenaan isu kalimah Allah.

“Saya sudah katakan bahawa DAP tidak sensitif dengan pandangan majoriti orang Melayu Islam dalam negara kita. Ini satu lagi buktinya. Sebelum ini, Lim Guan Eng memberi analogi yang tidak betul mengenai konsep murtad. Hari ini, Teresa Kok pula merayakan keputusan mahkamah mengenai kalimah Allah,” katanya.

Wan Saiful menegaskan, komen sebegitu langsung tidak membantu mewujudkan perpaduan dalam negara majmuk seperti Malaysia sebaliknya ia menyentuh sensitiviti dan menimbulkan prasangka yang berpanjangan.

“Saya tahu ada beberapa pemimpin DAP gembira. Tapi simpanlah sedikit dan tak perlulah merayakan macam ini. Dengan sikap DAP yang macam ini, ada sesiapa yang masih mahu wujudkan penjajaran baru untuk bawa DAP balik ke Putrajaya?” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  46  =  47