Isteri mangsa COVID-19 terima faedah PERKESO

 Isteri mangsa COVID-19 terima faedah PERKESO

Mohd Sharkar (dua kiri) dan Hamzi Hanifa (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Nurhaslin.

TEMERLOH, 24 Ogos — “Saya hanya mampu mengucapkan syukur dan terima kasih pada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang tampil menyediakan pelbagai kemudahan.

“Faedah yang diterima amat bermakna untuk saya meneruskan kehidupan dan membesarkan dua anak berusia enam bulan dan tiga tahun,” kata Nurhaslin Mohd Suhaimi Udaya, 30.

Dia yang kehilangan suami awal bulan ini selepas dijangkiti COVID-19 menerima pencen RM2,244.37 sebulan selain bayaran pengurusan jenazah sebanyak RM2,000.

Nurhaslin berkata, selepas kehilangan suami, Muhamad Izzmanudin Ibrahim, 34, dia buntu memikirkan sumber pendapatan kerana sebelum ini hanya suami sahaja yang bekerja.

“Saya bercadang mencari pekerjaan yang sesuai selepas ini, saya kini memerlukan masa untuk bertenang memandangkan kehilangan suami secara tiba-tiba tanpa disangka.

“Saya kini seperti bermimpi dan sukar untuk menerima orang yang disayangi kini telah pergi buat selama-lamanya,” katanya yang kini menetap di Taman Sri Layang, Mentakab, di sini.

Nurhaslin menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, di sini  pada Ahad.

Hadir sama Timbalan Pengarah PERKESO Pahang, Hamzi Hanifa Mahyuddin dan Pengurus PERKESO Temerloh, Roziah Abd. Wahid.

Sementara itu Hamzi Hanifa berkata, suami Nurhaslin mencarum dengan PERKESO dan melayakkan isteri dan anak menerima beberapa faedah selepas kematiannya.

“Waris layak menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan bayaran pencen bulanan akan dibayar kepada balu seumur hidupnya dan anak-anak mangsa sehingga berumur 21 tahun atau sehingga mendapat ijazah pertama.

“Jumlah keseluruhan pencen bulanan yang dibayar kepada waris adalah sebanyak RM2,244.37 sebulan,” katanya.

Hamzi Hanifa berkata, sehingga kini PERKESO telah menyalurkan faedah kepada 24 waris di negeri ini yang mengalami kematian ahli keluarga akibat pandemik COVID-19 membabitkan 16 kes di daerah ini dan lapan kes di Kuantan.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  67  =  69