Ismail Sabri tiba di Istana Negara melalui pintu 2, angkat sumpah PM-9

 Ismail Sabri tiba di Istana Negara melalui pintu 2, angkat sumpah PM-9

KUALA LUMPUR 21 Ogos 2021. Tangkap Layar menunjukkan siaran langsung Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Kesembilan di Istana Negara. Foto/RTM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Negara bagi Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Kesembilan, hari ini.

Kenderaan membawa Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera itu, memasuki Pintu Dua Istana Negara pada pukul 2.12 petang.

Istiadat dijadualkan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pukul 2.30 petang.

Beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia Kesembilan di Istana Negara pada pukul 2.28 petang

Ismail Sabri, 61, mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 16 Ogos lepas, susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Upacara itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Antara pemimpin politik yang hadir ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Selain itu yang hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup, Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Turut hadir empat anak dan menantu Ismail Sabri iaitu Datin Nina Sabrina dan suaminya Datuk Jovian Mandagie, Gadaffi, Nashriq dan isterinya Aiman Shaheerah Faeiz, serta Iqbal.

Upacara itu diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.

Istana Negara dalam kenyataan semalam memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Ismail Sabri sebagai perdana menteri yang baharu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai kearah pengamal media yang berugas di hadapan Istana Negara selepas selesai majlis Angkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang kesembilan hari ini. WMY/Supian Ahmad

Keputusan itu diumumkan, selepas berlangsungnya Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Al-Sultan Abdullah selama dua jam di Istana Negara semalam.

Pada 17 Ogos lepas, Seri Paduka berkenan menerima menghadap ketua dan wakil parti-parti politik utama negara dan pada hari sama, menitahkan kesemua 220 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan seorang Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration) yang perlu dihantar kepada Istana Negara sebelum 4 petang, Rabu.

Menerusi surat akuan itu, Ismail Sabri yang menggalas jawatan timbalan perdana menteri sebelum ini, mendapat 114 sokongan Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai perdana menteri kesembilan dan membentuk kerajaan.

Dalam kerajaan terdahulu, Ismail Sabri turut memegang portfolio Menteri Pertahanan selain diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) bagi menangani aspek bukan kesihatan situasi COVID-19 negara.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *