Islamofobia dalam konteks negara kita

 Islamofobia dalam konteks negara kita

Gambar hiasan

DUNIA Barat mempunyai gambaran stereotaip dan prasangka terhadap Islam, yang di antara sebabnya ialah kerana laporan media mereka yang sering menonjolkan Islam sebagai agama ekstremis, fundamentalis, pengganas dan pelbagai label negatif lainnya.

Bagaimana pun gambaran stereotaip tentang Islam di dalam media Barat, dan seperti yang difahami oleh orang Barat, sebenarnya bukanlah satu perkara baru dalam pertembungan di antara Islam dan Barat. Pertentangan, pada hakikatnya, dapat dikesan kembali kepada jangka masa yang lama, ketika Islam dan Kristian terlibat di dalam Perang Salib, demikian juga dalam konflik Empayar Othmaniah ketika Islam berjaya mengembangkan sayapnya ke Eropah yang dianggap sebagai ancaman kepada agama Kristian dan gereja serta pemerintah mereka.

Menjelang zaman moden dan ICT sekarang ini maka penentangan terhadap agama Islam, malah terhadap semua agama seluruhnya, telah berlaku. Golongan yang tidak percayakan Tuhan, atheis, menonjolkan pemikiran anti semua agama, dan semua umat yang percayakan agama, the believers. Mereka cuba mengambil kesimpulan bahawa agama tidak lagi relevan dengan zaman ini.

Pandangan sarwajagat Islam nampaknya mulai keliru dalam kalangan penganut Islam sendiri, terutamanya golongan muda Islam, kerana terdapat aliran pemikiran dan gagasan baharu yang lebih moden dan liberal dari kalangan umat Islam sendiri yang cuba mendominasikan senario Islam dengan doktrin baharu tentang agama Islam.

Salman Rushdie menerbitkan bukunya The Satanic Verses pada 26 September 1988. Taslima Nasrin, penulis Bangladesh, telah menerbitkan tulisannya yang bercanggah dan berbeza pendapat dengan kefahaman majoriti  umat Islam bagi pentafsiran beberapa ayat Al-Quran yang tertentu.

Dalam peristiwa ini, terdapat para ulama Islam yang telah mengeluarkan fatwa bahawa darah Salman Rushdi adalah halal, dan hal yang sama juga dikatakan terhadap Taslima Nasrin, sehingga hal ini telah menimbulkan perasaan marah dan sentimen yang amat tinggi di dalam masyarakat Islam, maka dalam semangat penentangan yang meluap-meluap inilah terdapat banyak demonstrasi terhadap kedua-dua penulis ini, dan akibatnya berlakulah demonstrasi yang bercampur dengan emosi yang akhirnya berlaku pertempuran dengan pihak pemerintah dan sesama sendiri yang memakan korban nyawa umat Islam sendiri.

Dalam kes yang sama juga, pada tahun 1992, seorang ahli akademik Mesir, Nasr Abu Zaid, telah dipaksa hadir di mahkamah bagi menceraikan isterinya atas tuduhan bahawa tulisannya mengenai Islam telah menjadikannya murtad, justeru dia haruslah berpisah dengan isterinya.

Banyak insiden dan contoh lain yang dapat diberikan yang telah berlaku di dalam dunia Islam,  termasuk di dalam isu perbezaan kefahaman mazhab, hingga mencetuskan peperangan sama sendiri yang memakan korban yang begitu banyak hingga ke saat ini.

Dalam konteks negara kita, syukurlah kita masih belum mengalami krisis yang berbahaya ini, dan amatlah diharapkan bahawa kita tidak akan berhadapan dengan krisis yang pernah berbangkit di dunia lain seperti yang dinyatakan di atas.

Kita memang kesal dengan penentangan dari golongan tertentu terhadap agama Islam yang cuba dikelirukan dengan pandangan moden yang agak permisif. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga tidak mahu melihat reaksi yang emosional dan defensif yang melampau dari kalangan umat kita sendiri.

Para ulama dan intelektual Muslim sering juga menjelaskan beberapa pandangan, yang rasanya boleh dijadikan satu panduan untuk isu kelahiran  beberapa elemen dalam kalangan segelintir umat Islam yang dianggap sebagai keterlaluan, di antaranya ialah:

  1. Kecetekan intelektual yang mengakibatkan krisis dalaman masyarakat Islam yang tidak dapat memfokuskan kepada masalah yang menjadi keutamaan dalam strategi perjuangan umat Islam dan penghayatan ajarannya. Kajilah ayat 7 dari surah Ali-Imran tentang teks Al-Quran bagi ayat-ayat yang menjelaskan kategori hukum Muhkamat (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya) dan Mutasyabihat (yang samar-samar tidak terang maksudnya). Hal ini juga sering menjadikan penganut Islam mengeluarkan tafsiran dan pandangan yang agak radikal ketika mentafsirkan ayat-ayat Mutasyabihat.
  2. Golongan ini juga nampaknya sering mengambil sikap yang terlalu ideal dalam usaha kembali kepada ajaran Al-Sunnah sedangkan Rasulullah SAW hidup di Makkah selama 13 tahun mengerjakan solat dan tawaf di Baitullah sedangkan Kaabah di kelilingi oleh ratusan berhala kaum musyrikin. Hal ini menunjukkan bahawa baginda sentiasa mengambil sikap yang praktikal dan memberi masa untuk mengubah iklim serta persekitaran latar belakang yang tertentu.

Dalam tahun 10H (631M) Nabi Muhammad telah menerima satu rombongan penganut Kristian dari Najran di dalam Masjid Al-Nabawi. Baginda telah membenarkan penganut Kristian itu menunaikan ibadat mereka di dalam Masjid, diikuti dengan perbincangan tentang doktrin ketuhanan dan kenabian, termasuk kerasulan Nabi Isa, dan baginda membaca ayat Al-Quran dari surah Al-Ikhlas dan ayat 59 – 61 surah Ali-Imran untuk menjelaskan pengajaran Islam tentang isu yang dibincangkan.

Saya berpandangan bahawa ruang untuk berbicara secara sihat dan mesra masih terbuka, yang sepatutnya dapat dilakukan dalam isu-isu perbezaan tanggapan dan tafsiran ini, terutamanya yang menyentuh masalah ijtihad dan perbezaan mazhab dalam perkara-perkara cabang dan  ranting. Asalkan tidak menyentuh hal-hal yang teras dan fundamental dalam ajaran agama kita yang suci.

Perbincangan secara sihat dan bertamadun amatlah penting sekali dilakukan secara terbuka dan berterus terang, berdasarkan keadaan dan suasana negara kita sendiri dan kewajipan setiap warga negara dalam melaksanakan kandungan ajaran agama masing-masing dan budaya hidup bersama yang telah diterima oleh semua golongan termasuk panduan dari Perlembagaan negara dan undang-undang yang disepakati selama ini.

Inilah konsepnya satu keluarga di dalam konteks negara kita ini, seperti yang telah saya jelaskan juga di dalam tulisan saya di ruangan ini tentang nama Allah yang disalahertikan.

Tan Sri Dr Ismail Ibrahim

wira@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *