Islam sebagai cara hidup

 Islam sebagai cara hidup

 

Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

SEBENARNYA ketika membicarakan tentang agama Islam, bukanlah pembicaraan hanya berkisar di sekitar ibadat khusus sahaja. Islam sendiri telah menjelaskan tentang fungsi hukum hakam yang di maksudkan, iaitu ketika Islam menentukan bahawa dalam Islam ada beberapa kategori perintah Allah, iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

Hal ini di fahami oleh umat Islam, terutamanya di dalam budaya Melayu yang terpengaruh dan sebati dengan ajaran Islam. Malah bagi budaya Melayu sendiri ketika disebutkan perbuatan yang wajib dilakukan, dan perbuatan yang haram, perbezaannya jelas sekali tentang dua kriteria perbuatan ini, yang satunya mesti dilakukan, dan yang satu lagi jangan dilakukan.

Tetapi senario ini agak berbeza dalam masyarakat Islam ketika memasuki zaman teknologi maklumat dan intelektual baru, ketika para saintis dan ahli akademik banyak membicarakan cabang ilmu secara holistik dan lebih mendalam.


Sungguh pun istilah ekstremis tidak wujud dalam Islam, tetapi baginda Rasulullah SAW dari awal lagi menyatakan tentang sikap baginda sebagai seorang manusia yang perlu menjaga keseimbangan diantara tuntutan jasmani dan rohani, ruh dan jasad. Para sahabat Baginda menyangka bahawa sebagai Rasul dan Nabi, Baginda tentulah bersolat sepanjang malam, berpuasa saban hari, malah mungkin juga seorang Muslim tidak perlu berkahwin.


Hal ini diterangkan sendiri oleh Baginda, bahawa Baginda berpuasa dan berbuka, bersolat malam dan tidur, malah berkahwin. Hal ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa terdapat keseimbangan dalam kehidupan spiritual dan fizikal Baginda, kerehatan dan tuntutan jasmani yang harus dipenuhi.

Oleh itu dalam zaman sekarang ini segala pengajaran rasmi dan tidak rasmi tentang agama Islam haruslah di sertai dengan penjelasan yang lebih ilmiah dari pada hanya menyerah kepada Allah SWT untuk segala-segalanya, tanpa kita sendiri berikhtiar dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kehidupan kita di dunia ini, kerana dunia ini adalah merupakan kebun untuk hari akhirat. Allah SWT menegaskan tentang hal ini bahawa manusia haruslah berusaha untuk mendapatkan kelebihan akhirat, tetapi janganlah melupakan habuan dan nasib mereka di dunia ini.

Tanpa menghubungkan agama dengan budaya manusia jasmani dan rohani, maka kita sering melihat bahawa dunia kerohanian dan fizikal manusia sering dipisahkan oleh Syariah sendiri. Ibadat wuduk, solat dan infaq mempunyai hubungan yang rapat dengan kebersihan, disiplin, pengurusan masa, dan semua pengurusan dengan diri sendiri dan masyarakat di sekeliling.


Membaca dan mencari ilmu pengetahuan merupakan perutusan utama yang di terima oleh Baginda, dengan ungkapan “Iqra’” (Bacalah) Sekiranya umat Islam di bekalkan dengan perutusan ini dengan penuh komitmennya, dan tindakan selanjutnya dari budaya membaca dan menuntut ilmu dalam segala cabangnya, maka umat Islam tidak akan jatuh dalam dunia buta huruf pada umumnya, dan nescaya umat Islam akan menguasai ilmu pengetahuan dengan baik dalam dunia ini, malah sekiranya dikaitkan juga dengan pembangunan ekonomi, zakat, waqaf dan sedekah atau infaq, maka ekonomi umat Islam juga akan maju dan meningkat untuk kepentingan dunia dan akhirat umat Islam sendiri.


Oleh itu dalam memberi kuliah, tazkirah, menganjurkan kelas agama, tahfiz dan sebagainya, malah dalam menyampaikan pendidikan Islam, pada masa kini,  hal itu adalah merupakan sebahagian dari cara hidup dan budaya yang menyeluruh bagi masyarakat sendiri.

Budaya hidup masyarakat merupakan satu kesatuan dan elemen penting dalam hidup manusia ketika mengamalkan sistem ibadat, hukum dan fatwa, tata susila dan cara hidup spiritual dan fizikal manusia, pembangunan ekonomi dan kekuatan kebendaan, malah politik dan pemerintahan negara itu sendiri.

Al-Quran mengajar kita supaya selalu berdoa dengan petunjuk ayat Al-Quran “Tuhan kami berikanlah kami kebaikan di dunia ini, dan kebaikan di akhirat, dan peliharakanlah kami dari azab neraka” (Al-Baqarah (2) ayat 201)

Ada disebutkan oleh para ulamak bahawa Rasulullah SAW amat banyak sekali berdoa dengan makna ayat ini, dan menekmati maknanya yang luas.

Al-Quran juga menjelaskan “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu akan pahala dan kebahgiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (yakni bekalan) dari dunia ini” Surat Al-Qasas (28) ayat 77.

Yakni kita harus berusaha mencari kekayaan di dunia ini bertujuan untuk membuat kebajikan dan aktiviti yang mendatangkan balasan baik dari Allah di hari akhirat nanti, tanpa melupakan kesenangan di dunia ini bagi amalan untuk akhirat itu


Pendeknya segala kelemahan umat Islam di dunia ini pada masa kini tidaklah merupakan gambaran ajaran Islam itu sendiri, kerana ajaran Islam merupakan ajaran yang lengkap dan holistk, ajaran akidah, Syariah dan adab seta tamadun dunia dan akhirat. Segala kelemahan malah kemunduran umat Islam dalam dunia hari ini, sebenarnya kerana umat Islam sendiri tidak menguasai prinsip agamanya sendiri, tidak menghayati objektif dan matlamat hidup di dunia dan akhirat ini mengikut ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran, juga tidak mendapat kesan dari pengajaran dan panduan serta contoh tauladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri.


Hal ni memerlukan umat Islam sendiri yang seharusnya menyedari di manakah bumi mereka berpijak dan langit yang mereka junjungi pada hari ini. Memeriksa di manakah ajaran Islam dalam kehidupan mereka, apakah kerana mereka tidak menguasai ajaran Islam yang sepatutnya, atau kerana para pendakwah dan pendidik yang tidak mempunyai kebijaksanaan untuk menerangkan Islam yang sebenarnya kepada mereka, juga kurikulam, kaedah mengajar serta latihan guru yang tidak lengkap kepada para guru dan pendidik mereka di sekolah dan IPT, apakah kerana kelemahan semuanya ini yang menyebabkan umat Islam menjadi lemah dan tidak memahami Islam yang sebenarnya sehingga menyebabkan kehidupan mereka juga tidak lagi sebagai kehidupan yang dituntut oleh Islam agar menjadi umat yang berilmu, umat yang bertaqwa dan bekerja keras untuk kebaikan dunia dan akhirat

Inilah kewajipan dan tugas pihak yang bertanggung jawab untuk di teliti dan dikaji dengan sebaik-baiknya, kerana jika hal ini tidak diusahakan untuk perubahan dan pembaikan, maka selama itulah umat Islam akan terus ketinggalan di dunia ini, dan seterusnya ketinggalan untuk akhiratnya juga.

Lihatlah dunia Islam yang mempunyai penghuni yang banyak, malah terdapat diantaranya yang kaya raya kurniaan Allah SWT, tetapi mereka tidak bersatu, bersama-sama tolong menolong membangunkan negara dan semangat mereka , menentang kezaliman dan permusuhan manusia lain, tetapi kehidupan mereka sering menerima tekanan dan seksaan, malah sepatutnya umat Islam dapat memahami banyak utusan Allah SWT supaya umat Islam bersatu, bersama-sama menegakkan ajaran dan agamanya di dunia ini, dan menjaga keselamatan bersama, serta dalam masa yang sama meningkatkan segala perintah Allah SWt, namun di manakah kenyataan ini bagi umat Isam pada hari ini?

Semoga Allah SWT menolong umat Islam dan negara kita menjadi negara yang aman damai dengan penduduknya yang berbagai kaum, dan umat Islam akan terus memahami ajaran agama Islam, serta Kerajaan juga akn berusaha mestrukturkan segala bidang pendidikan dan pengajaran agama Islam ke satu arah yang lebih baik dan menyeluruh untuk benar-benar kita memahami bahawa Islam adalah merupakan satu cara hidup yang lengkap dan holistik, dunia dan akhirat.

Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *