Islam dan Muslim: tahu perbezaannya!

 Islam dan Muslim: tahu perbezaannya!

Oleh Irwan Abdul Rahman
Ketua Pengarang

Suatu pagi, ketika sedang beratur membeli sarapan nasi lemak ayam goreng di kedai berhampiran rumah saya, saya terlihat seorang lelaki berumur yang baru menaiki motosikal miliknya. Elok rupa parasnya, tak ada beza dari mana-mana warga emas yang kita selalu lihat di surau, dengan kopiah yang senget, rambut putih dan riak muka yang ceria dan tenang. Baju T warna ungu yang dipakainya pun cantik, mengandungi tulisan menyebut tentang “Ibadah Korban” komuniti beliau.

Namun apa yang menarik perhatian saya (dan juga pelanggan lain yang berada di kedai itu tadi) tentang atuk ini, bukan paras rupanya. Apa yang menyebabkan kami terpaling memandang dia, adalah bunyi dentuman sepaket plastik teh ais separa penuh menghentam tanah, yang baru dicampaknya ke seberang jalan.

Pecah berderai, percikan air perang pekat di serata laluan jalan kaki dan pokok berdekatan. Loya tekak saya, terkejut dengan kejadian di depan mata. Nampak gaya, bukan saya sahaja yang begitu, saya perasan ada beberapa orang lain yang merenung tajam si atuk ini, yang dengan selamba dan tanpa rasa segan silu menghidupkan motor dan berlalu pergi.

Sedih. Malu. Marah. Hanya mampu geleng kepala. Nak tegur, dikata tak hormat orang tua pulak karang. Akhirnya, semua di situ hanya menerima keadaan dengan hampa. Redha lah, katakan.

Jika inilah contoh perangai seorang warga emas masyarakat kita, yang dengan bangga membawa imej Islam di khalayak ramai, saya tak tahu nak kata apa lah. Kalau yang buat tu budak-budak, boleh la kita nak menegur. Ada la logik dan sebab dia – mungkin dia tidak pernah diajar.

Mungkin dia melihat contoh yang salah di rumah atau sekolah. Mungkin tak pernah merasa dimarah, dirotan atau dipelempang cikgu dan abang senior apabila berperangai biadap, macam zaman-zaman saya muda dulu lah. Kalau macam tu, faham la juga. Zaman dah berbeza, la katakan. Sekarang ni semua perlu diolah semula, segala tunjuk ajar perlu dibuat dengan berhemah dan penuh kasih sayang. Jadi tanggungjawab kita sebagai dewasa untuk membawa dia kembali ke pangkal jalan.

Tapi atuk ini, rasanya, dah kira cukup pengalaman dan ilmu untuk mengajar cucu sendiri. Tambahan pula, daripada rupa paras beliau, nampaknya dia seorang yang dihormati dalam komuniti. Mungkin selalu singgah masjid dan surau, aktif terlibat dalam program kejiranan. Tak perlu dah diajar benda-benda ‘basic’ macam ni, sepatutnya kan?

Jadi, tak perlu hairan lah kalau anak-anak kita berperangai sama. Hai, Atuk boleh, kenapa kami tak boleh? Si ketam nak mengajar anak berjalan ke hadapan?

Teringat saya pada kata-kata ulama Mesir awal abad ke-20 Muhammad Abduh: “Saya merantau ke Barat dan melihat Islam, tapi tiada Muslim; saya kembali ke Timur dan melihat Muslim, tapi tiada Islam.”

Makan dalam dan tajam betul ayat cendikiawan tersebut.

Maksudnya mudah: di negara Barat, yang mana penuh dengan orang bukan Muslim, beliau nampak banyak nilai dan ciri-ciri prinsip Islam, seperti kebersihan, keamanan, keadilan, integriti, kedaulatan undang-undang dan kehormatan terhadap hak masyarakat. Apabila beliau kembali ke negara sendiri, yang mana majoriti masyarakat adalah Muslim, yang beliau nampak adalah adab, sikap dan budaya yang memalukan kita semua.

Ayat pedas ni masih relevan sehingga sekarang.

Walaupun di era globalisasi, kita mungkin dah tak boleh nak membezakan budaya popular di ‘Barat’ dan ‘Timur’, tetapi kita masih boleh melihat sendiri sikap dan peradaban masyarakat kita.

Pembuangan sampah merata-rata, samseng jalanan dan sikap biadap dah jadi sinonim dengan hidupan moden Malaysia, terutamanya di kawasan bandar. Kita dah mangli dengan cara hidup tidak sivik dan kurangnya nilai moral di kalangan masyarakat kita. Peradaban, cara kerja, bahkan cara kita mentadbir organisasi sekalipun, kebanyakannya tidak berpaksikan nilai-nilai murni Islam yang kita pelajari.

Integriti dan keikhlasan dah kira jarang dijumpai. Jikalau tidak, kenapa kita terkejut sangat apabila membaca kisah si polan itu mengembalikan dompet atau wang yang dijumpai kepada pemiliknya? Kenapa di aitu dianggap wira dan viral serata negara?

Ini menunjukkan yang sifat amanah itu sudah LUAR biasa.

Lagi contoh: Kita kalau nak makan di mana-mana medan selera, apa yang perlu kita buat untuk ‘booking’ (orang kita kata ‘chop’) satu meja, sebelum kita pergi membeli makanan? Selalunya, kita kena minta salah seorang daripada ahli kumpulan/keluarga kita duduk di situ – kerja dia adalah untuk ‘menghalau’ atau menempis cubaan mana-mana orang lain yang nak ambil meja kita.

Tetapi di Singapura, untuk membooking suatu meja makan, mereka hanya perlu meletakkan pek tisu di atas meja itu. Ini sudah cukup untuk orang lain faham, bahawa meja itu telah ditempah.

Di Jepun, yang mana Islam dan Muslim itu konsep yang amat asing kepada kebanyakan rakyatnya, bagi membooking suatu meja makan, rakyatnya meletakkan BEG TANGAN mereka. Ya, dengan wang, kad kredit dan segala barang bernilai di dalamnya. Di atas dasar kepercayaan, amanah dan integriti yang amat tinggi, mereka boleh pergi membeli makanan dengan aman, kerana kes jenayah curi di sana amat jarang berlaku. Hormat dan berbudi kepada orang lain adalah dianggap sesuatu yang amat normal – hak masyarakat adalah lebih penting daripada hak individu!

Pernah saya baca, bahawa polis di Jepun tidak mempunyai cukup kes jenayah untuk diselesaikan. Tak tahu lah betul ke tidak, tetapi, bolehkah anda bayangkan situasi sedemikian di negara kita?

Di Eropah, keadaan yang hampir sama dapat dilihat. Di negara Belanda, mereka menghadapi masalah yang unik – penjara-penjara mereka tidak mempunyai cukup banduan. Rata-rata, rakyat mereka menjalani hidup dengan aman dan tenteram, dan mengikuti undang-undang adalah satu perkara yang biasa. Di sini, undang-undang mempunyai ‘syarat’ biasa yang pelik – ianya menjadi kesalahan hanya bila ditangkap! Yang biasa kita lihat adalah penunggang motosikal tidak bertopi keledar, pemandu kereta tidak memakai tali pinggang keledar, dan pengguna jalanraya melanggar isyarat lampu merah. Pandang kiri, pandang kanan, tak ada polis atau kamera? Pecut!

Sebenarnya, sikap dan adab tatasusila di negara-negara moden ini mencerminkan nilai-nilai Islam yang sepatutnya sinonim dengan cara hidup orang Muslim. Sepatutnya, inilah norma hidup kita sebagai orang Islam. Sepatutnya, orang kita dapat hidup dengan aman, bahagia dan tenang, tanpa takut atau cemas. Sepatutnya kita boleh yakin bahawa sistem pentadbiran kita (awam atau swasta) adalah efisyen, telus, berteraskan integriti, keadilan serta mesra pelanggan. Sepatutnya kita boleh berbangga kerana korupsi adalah sesuatu yang jarang berlaku, bukan sesuatu yang kita anggap “biasa la, bro”.

Dari segi luaran, kita mungkin nampak cantik. Fasih berbicara akademik, banyak ilmu, pandai mengaji, berceramah dan berdoa, berperawakan Muslim ‘hard-core’ dan amat sensitif dengan apa-apa yang dikira tidak halal. Memang cari nahas la sesiapa sahaja yang berani memanggil kita dengan nama-nama jijik najis seperti ‘anjing’ atau ‘babi’. Kad pengenalan kita sahih memperakukan kita ini beragama Islam! Muslim otomatiknya adalah orang Islam! Jangan pertikaikan!

Tetapi, adakah sikap dan adab kita betul-betul sedemikian? Seikhlasnya, bolehkah kita mengaku kita umat Islam yang menjadi model kepada masyarakat lain? Tak berani saya nak kata.

Kita jangan redha dengan keadaan ini. Jangan sekali-kali kita anggap ini sudah biasa dan tidak boleh ditukar.

Umat Muslim perlu kembali kepada ajaran dan nilai-nilai Islam yang sebenar. Sentiasa ajar anak-anak kita, dan pastikan kita sendiri terus memperbaiki diri untuk hidup lebih Islamik dan bukan hanya pada nama dan status kad pengenalan. Allah Maha Mengetahui – dan kita tak mungkin dapat terlepas dari balasan yang setimpal jika kita melakukan perkara yang salah atau lebih-lebih lagi – zalim, seperti mengambil yang bukan hak kita atau menyakiti orang lain.

Mulakan dengan perkara-perkara kecil, seperti menghormati masyarakat kita dengan menjaga kebersihan, patuh kepada undang-undang dan menjaga adab. Selagi kita menitikberatkan benda-benda kecil sebegini, insya Allah, kita boleh memperbaiki perkara-perkara lebih besar yang kita anggap mustahil untuk dikecapi.

Nilai-nilai baik ini sebenarnya adalah ‘normal’ di dalam hati nurani kita. Kita semua, tak kira bangsa atau agama, ingin hidup aman, harmoni, hormat-menghormati serta berbudi sesama sendiri. Ini adalah nilai-nilai universal yang memartabatkan agama kita dan membentuk fabrik masyarakat yang benar-benar prihatin, adil dan cerdik.

Irwan Abd Rahman

https://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =