Islam cara hidup berasaskan perutusan Iqra

 Islam cara hidup berasaskan perutusan Iqra
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

SEBENARNYA ketika membicarakan mengenai agama Islam, bukanlah pembicaraan hanya berkisar di sekitar ibadat khusus sahaja. Islam sendiri telah menjelaskan mengenai fungsi hukum-hakam yang dimaksudkan iaitu ketika Islam menentukan bahawa dalam agama ini ada beberapa kategori perintah Allah iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

Hal ini difahami oleh kebanyakan umat Islam, terutamaa dalam budaya Melayu yang terpengaruh dan sebati dengan ajaran Islam. Malah bagi budaya Melayu sendiri, ketika disebutkan perbuatan yang wajib dilakukan dan perbuatan yang haram, perbezaannya jelas sekali tentang dua kriteria perbuatan ini. Yang satunya mesti dilakukan dan yang satu lagi jangan dilakukan.

Tetapi senario ini agak berbeza dalam masyarakat Islam ketika memasuki zaman teknologi maklumat dan intelektual baharu, ketika saintis dan ahli akademik banyak membicarakan cabang ilmu secara holistik dan lebih mendalam.

Sungguhpun istilah ekstremis tidak wujud dalam Islam tetapi Rasulullah SAW dari awal lagi menyatakan mengenai sikap Baginda sebagai seorang manusia yang perlu menjaga keseimbangan di antara tuntutan jasmani dan rohani, roh dan jasad Baginda. Kalangan sahabat Baginda menyangka bahawa sebagai Nabi dan Rasul, Baginda tentu solat sepanjang malam, berpuasa saban hari malah mungkin juga seorang Muslim tidak perlu berkahwin.

Hal ini diterangkan sendiri oleh Baginda bahawa Baginda berpuasa dan berbuka, bersolat malam dan tidur malah berkahwin. Hal ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa terdapat keseimbangan dalam kehidupan kerohanian dan fizikal Baginda, kerehatan dan tuntutan jasmani yang harus dipenuhi.

Oleh itu dalam zaman sekarang ini segala pengajaran rasmi dan tidak rasmi mengenai Islam harus disertai dengan penjelasan yang lebih ilmiah. Kita tidak boleh hanya menyerah segalanya kepada Allah SWT tanpa kita sendiri berikhtiar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kehidupan di dunia ini kerana dunia ini merupakan kebun untuk hari akhirat.

Tanpa menghubungkan agama dengan budaya manusia serta jasmani dan rohani, maka kita sering melihat bahawa dunia kerohanian dan fizikal manusia sering dipisahkan oleh syariah sendiri. Ibadat wuduk, solat dan infaq mempunyai hubungan yang rapat dengan kebersihan, disiplin, pengurusan masa dan semua pengurusan dengan diri sendiri serta masyarakat di sekeliling.

Membaca dan mencari ilmu pengetahuan adalah perutusan utama yang diterima oleh Baginda, menerusi ungkapan ‘Iqra’ (bacalah). Jika umat Islam dibekalkan dengan perutusan ini dengan penuh komitmen dan tindakan selanjutnya dari budaya membaca dan menuntut ilmu dalam segala cabangnya, maka umat Islam tidak akan jatuh dalam dunia buta huruf pada umumnya. Dan, nescaya umat Islam akan menguasai ilmu pengetahuan dengan baik dalam dunia ini. Malah sekiranya dikaitkan juga dengan pembangunan ekonomi, zakat, waqaf dan sedekah atau infaq maka ekonomi umat Islam juga akan maju dan meningkat untuk kepentingan dunia dan akhirat umat Islam sendiri.

Oleh itu dalam memberi kuliah, tazkirah, menganjurkan kelas agama, tahfiz dan sebagainya, malah dalam menyampaikan pendidikan Islam pada masa kini, maka hal itu adalah sebahagian dari cara hidup dan budaya yang menyeluruh bagi masyarakat sendiri.

Budaya hidup masyarakat adalah satu kesatuan dan elemen penting dalam hidup manusia. Ini mencakupi hal ketika kita mengamalkan sistem ibadat, hukum dan fatwa, tata susila dan cara hidup spiritual dan fizikal manusia, pembangunan ekonomi dan kekuatan kebendaan, malah politik dan pemerintahan negara itu sendiri.

Al-Quran mengajar kita supaya selalu berdoa dengan petunjuk ayat al-Quran:

“Tuhan kami berikanlah kami kebaikan di dunia ini, dan kebaikan di akhirat, dan peliharakanlah kami dari azab neraka.” Surah Al-Baqarah (2) ayat 201.

Ada disebutkan oleh para ulamak bahawa Rasulullah SAW amat banyak sekali berdoa dengan makna ayat ini, dan menikmati maknanya yang luas.

Al-Quran juga menjelaskan:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu akan pahala dan kebahgiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (yakni bekalan) dari dunia ini.” Surat Al-Qasas (28) ayat 77.

Ini bermakna, kita harus berusaha mencari kekayaan di dunia ini bertujuan untuk membuat kebajikan dan aktiviti yang mendatangkan balasan baik dari Allah di hari akhirat nanti, tanpa melupakan kesenangan di dunia ini bagi amalan untuk akhirat itu.

Semoga hal ini dapat ditekankan supaya umat Islam tidak ketinggalan di dunia ini, demi mencari kebahagiaan di akhirat nanti.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  56  =  58