Intervensi kes Bella selaras akta berkuat kuasa

 Intervensi kes Bella selaras akta berkuat kuasa

KUALA LUMPUR, 10 Sept — Intervensi dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kes remaja sindrom down dikenali sebagai Bella selaras dengan akta yang sedang berkuat kuasa.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata ia antaranya bagi menyelamatkan kanak-kanak dan menempatkannya di tempat selamat, memberi perlindungan dan penjagaan selaras Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak kanak-kanak, menyita pusat jagaan serta membantu pihak berkuasa dalam penyediaan laporan sosial kanak-kanak.

Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperjuangkan nasib Bella pada 9 September lalu.

“Antara NGO yang terbabit dalam pertemuan itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Wanita Ikon Malaysia, Persatuan Helping Shoulder, Pertubuhan Anti Diskriminasi dan Salah Laku serta Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak dan OKU, saya sentiasa mengikuti perkembangan kes adik Bella yang kini berada di bawah perlindungan, penjagaan dan pengawasan JKM.

“Wakil PDRM dan JKM juga sudah menjelaskan intervensi yang dilaksanakan dalam mengendalikan kes ini dan saya berharap kes adik Bella dapat diadili mengikut lunas perundangan yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rina juga memohon orang ramai supaya segera membuat laporan kepada PDRM atau Talian Kasih 15999 dan Talian WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam apabila mengetahui atau mengesyaki apa-apa kes pengabaian dan penganiayaan terhadap kanak-kanak.

“Masyarakat juga diminta terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak, terutama anak OKU sebagai suatu amanah dan anugerah daripada Tuhan,” katanya.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  4  =