• Monday, 21 June 2021, 2:20 am

Internet baik, persekitaran selamat punca sindiket judi pilih Malaysia

 Internet baik, persekitaran selamat punca sindiket judi pilih Malaysia

JOHOR BAHRU, 7 Jun — Jaringan internet yang baik dan persekitaran selamat dipercayai antara punca sindiket perjudian dalam talian berpangkalan di Korea Selatan menjadikan Malaysia sebagai lokasi pusat operasi aktiviti haram itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket yang beroperasi sejak dua tahun lalu ditumpaskan dalam operasi khas membabitkan dua serbuan kira-kira 5 petang di kawasan Iskandar Puteri di sini, kelmarin.

Dalam serbuan itu, seramai sembilan lelaki warga Korea Selatan dan seorang lelaki tempatan yang berusia antara 29 hingga 66 tahun ditahan selain rampasan keseluruhan bernilai kira-kira RM150,000.

“Hasil siasatan awal, kita dapati sindiket ini menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi perjudian dalam talian sejak dua tahun lalu dengan menyasarkan pelanggan di Korea Selatan.

“Transaksi mereka akan terus masuk ke dalam akaun bank yang berpusat di Korea Selatan dengan menawarkan sembilan platform perjudian dalam talian,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong sebelum mencari penginapan di kediaman elit yang mempunyai jaringan internet yang pantas.

“Setiap tiga hingga enam bulan, mereka akan menukar lokasi operasi bagi mengelakkan dikesan oleh pihak polis.

“Wang taruhan sindiket terbabit mencecah RM1 juta setiap hari dengan 236 orang terlibat dan sebulan akan membabitkan kira-kira 1,500 orang. Data yang diperoleh mendapati nilai taruhan secara keseluruhan sudah mencecah RM87 juta,” katanya.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *