Interaksi bilik kuliah merentas negara

 Interaksi bilik kuliah merentas negara
Norani Abd Rahim

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

BANDAR TUN RAZAK: Pandemik COVID-19 menjadi hikmah terhadap penerokaan gaya pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) apabila transformasi interaksi kuliah kini boleh dimanfaatkan sehingga merentas budaya dan negara.

Ini terbukti menerusi Diskusi Budaya Antara Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPGKPI) yang mengupas Isu dan Cabaran Masa Depan Kebudayaan Nasional menggunakan aplikasi Google Meet.

Ketika PdPR, penggunaan aplikasi Google Meet atau Teams misalnya sudah menjadi rutin biasa kepada pensyarah dalam penyampaian kuliah, mesyuarat, diskusi  mahupun sesi berinteraksi bersama-sama siswa guru.

Pensyarah Kanan IPGKIK, Norani Abd Rahim berkata, diskusi berkenaan dengan sendirinya memberikan suatu perspektif berbeza dalam norma baharu dunia pendidikan kesan pandemik COVID-19 yang menyebabkan pembelajaran dan pengajaran secara konvensional tertangguh.

Katanya, jika dahulu untuk melaksanakan sesuatu program pendidikan memerlukan kos yang tinggi, begitu juga untuk bergabung dalam kuliah antara institusi pendidikan adalah sesuatu yang mustahil.

Bagaimanapun, kini, semua itu bukan lagi khayalan dan halangan yang dengan sendirinya Pandemik COVID-19 telah memberikan suatu pendekatan positif dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran khususnya kepada siswa guru di IPG.

“Program julung kali ini turut menarik minat lebih 50 orang awam untuk sama-sama mendengar hujah dan perbincangan anak muda terhadap kebudayaan nasional yang menjadi khazanah berharga negara untuk diwarisi generasi masa depan,” katanya kepada portal berita Wacana.my, di sini.

Diskusi Budaya berkenaan dianjur dan dikendalikan sepenuhnya siswa guru Bahasa Melayu Semester 8 yang mengambil kursus Kebudayaan Kebangsaan. Turut hadir, Pengarah IPGKIK,  Wan Yusof Wan Ngah; Pensyarah IPGKPI, Dr Norasiah  Abdullah dan Ketua-ketua Jabatan Pengajian Melayu kedua-dua kampus.

Program Diskusi Budaya antara  IPGKIK dan IPGKPI membuktikan bagaimana strategi berpusatkan pelajar dan pendekatan komunikatif dioptimumkan melalui pembelajaran secara maya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

30  −  26  =