Inspektor jual semula rampasan dadah kepada sindiket ditahan

 Inspektor jual semula rampasan dadah kepada sindiket ditahan

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 22 Mac – Seorang inspektor dan dua anggota polis ditahan dalam tangkapan berasingan kerana disyaki bersekongkol dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di sekitar negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 16 Mac lalu kira-kira jam 7 malam di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Menurutnya, pegawai kanan berusia 31 tahun bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara itu ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket dadah.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki menjalankan aktiviti menjual semula rampasan dadah yang dilakukan polis kepada sindiket dadah untuk dipasarkan ke negara jiran,” katanya dalam sidang media di IPK Johor di sini, semalam.

Ayob Khan berkata, selain tangkapan, polis turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza serta wang tunai sebanyak RM1,200.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Dalam kes kedua, beliau memberitahu, tangkapan dibuat melibatkan dua anggota berpangkat sub inspektor dan koperal, masing-masing berusia 59 dan 35 tahun pada 18 Mac lalu.

Kedua-dua anggota yang bertugas di IPD Muar itu ditahan selepas disyaki melakukan pemerasan ke atas individu yang ditahan mereka kerana memiliki dadah jenis syabu di sekitar kawasan Parit Jawa, Muar dekat sini.

“Bagi melindungi kegiatan dadah tersebut, mereka telah meminta wang sebanyak RM3,000 sebagai wang perlindungan,” katanya.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanan Keseksaan yang berakhir kelmarin sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

77  −    =  74