Kapal kontena terdampar sekat Terusan Suez

 Kapal kontena terdampar sekat Terusan Suez

Oleh Iqhram Ahmad

KAHERAH, 26 Mac. – Sebuah kapal kontena tersekat dan menghalang Terusan Suez di Mesir sehingga menyebabkan pergerakan kapal-kapal kontena di antara laluan perdagangan paling sibuk dunia itu tergendala.

Menurut laman sesawang pengesan kapal, Vessel Finder, sebuah kapal sepanjang 400 meter (m) dan 59 m lebar itu menghalang kapal lain untuk bergerak serta berada dalam posisi melintang.

Terusan Suez merupakan antara laluan perdagangan terpenting dunia sejak lebih 150 tahun lalu, di mana 10 peratus daripada perdagangan antarabangsa melalui kawasan itu.

Menurut pihak berkuasa terusan berkenaan, laluan itu menyaksikan hampir 20,000 kapal kontena pada tahun lalu dengan jumlah berat melebihi 1.2 bilion tan.

Dengan pendapatan AS$5.61 billion (kira-kira RM23 bilion) pada tahun lalu, ia merupakan penyumbang kepada ekonomi Mesir yang bergerak perlahan sejak beberapa tahun lalu.

Presiden Abdel Fattah al-Sisi mengumumkan pelan bagi memperluaskan terusan itu bagi menambahkan jumlah harian kapal sebanyak dua kali ganda serta mengurangkan tempoh menunggu, pada 2023.

Kapal tersangkut itu mungkin mengganggu bekalan terutama daripada Eropah ke rantau ini buat sementara waktu.

Menurut Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung, sekatan yang berpanjangan mungkin menyebabkan beberapa persediaan lain perlu dilakukan.

“Apa yang membimbangkan kapal yang belayar terpaksa mengelilingi benua Afrika – Tanjung Harapan dan datang ke Asia. Perjalanannya lebih panjang satu hingga dua minggu,” katanya di laman rasmi Facebook.

Tambahnya, penjadualan semula perkhidmatan mungkin terpaksa dibuat sekiranya gangguan itu berpanjangan.

“Kapal kontena yang tersadai akibat ribut kini menyekat salah satu laluan air tersibuk di dunia yang menyediakan penghantaran sekitar 10 peratus dari semua perdagangan laut dunia.

“Selain itu, Selat Melaka dan Singapura menyediakan laluan kira-kira sepertiga perdagangan laut dunia. Sekiranya anda melihat peta dunia, anda akan menyedari keduanya saling berhubung kait dalam menghubungkan Eropah, Timur Tengah dan Asia,” katanya.

Kapal kontena yang menghalang laluan di Terusan Suez itu digunakan untuk membawa pelbagai barangan, minyak, bijirin dan produk lain yang menghubungkan Asia dan Eropah.

Sekurang-kurangnya 185 kapal, termasuk kapal pengangkut kontena, kapal tangki minyak dan kimia, terpaksa menunggu untuk melalui terusan itu kelmarin.

Terusan itu juga digunakan oleh kapal tangki yang menghantar minyak mentah dari Timur Tengah ke Eropah dan Amerika Utara dan dari arah bertentangan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  1  =