Inovasi penggalak buah tingkat keluaran 3 kali ganda

 Inovasi penggalak buah tingkat keluaran 3 kali ganda

Oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 5 Mei – Inovasi penggalak buah (Ids Booster) yang dihasilkan seorang pekebun nangka terbukti berkesan apabila pokok yang disembur dengan cecair berkenaan mampu mengeluarkan hasil lebih tiga kali ganda daripada biasa.

Penggunaan produk itu mampu menambahkan pendapatan pekebun terutama bagi mereka yang bergantung sepenuhnya pada hasil pelbagai jenis tanaman seperti nangka, durian, cempedak, duku, dokong, limau, kelapa sawit dan langsat.

Bagi Mohd Derus Abdul Latif, 61, pengalaman bertugas sebagai Penolong Pegawai Pertanian selama 32 tahun menjadi kelebihan kepadanya menghasilkan produk yang pertama di negara ini.

Beliau mengambil masa selama dua tahun untuk melakukan penyelidikan sebelum berjaya menghasilkan produk penggalak buah yang amat sesuai digunakan oleh pekebun bagi menambahkan hasil pengeluaran tanaman mereka.

Pesara itu sebelum ini berjaya menghasilkan tiga jenis baja kimia untuk tanaman sawit, padi dan sayuran.

“Cara menggunakan penggalak buah yang saya hasilkan mudah sahaja di mana pekebun hanya perlu menyembur produk terbabit pada bahagian batang dan dahan sekali seminggu selama tiga minggu berturut-turut.

Penggalak buah yang hasilkan ini sesuai digunakan pada pokok yang mengeluarkan buah pada bahagian batang dan dahan.

“Kandungan utama produk berkenaan ialah sejenis bakteria yang berperanan merangsang pokok mengeluarkan buah secara serentak dengan jumlah yang banyak tanpa memberi kesan sampingan pada tanaman dan buah,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau berkata, bukti kejayaan penggunaan penggalak buah yang dihasilkan dapat dilihat pada projek tanaman nangka seluas 24 hektar yang diusahakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kota Perdana, dekat sini.

Mohd Derus berkata, pengeluaran nangka madu jenis J33 bertambah tiga kali ganda berbanding sebelum ini di mana buah keluar pada bahagian batang dan dahan antara 50 hingga 100 biji selepas disembur dengan produk berkenaan.

“Produk penggalak buah dihasilkan dalam bentuk serbuk dan mengandungi beberapa jenis bahan kimia, untuk menggunakannya pekebun hanya perlu membancuh dengan air mengikut sukatan ditetapkan dan membuat semburan pada pokok.

“Produk berkenaan juga boleh dicampur dengan racun serangga dan kulat untuk membasmi perosak, pekebun pasti berpuas hati apabila sekali mencubanya.

“Selepas menggunakan penggalak buah pekebun tetap perlu melakukan aktiviti membaja dan membersih kawasan seperti biasa mengikut jadual,” katanya yang turut mengusahakan tanaman jambu, serai, padi dan betik.

Beliau berkata, selepas empat tahun menggunakan produk penggalak buah dia kini mampu memasarkan nangka ke Singapura lebih 20 tan sebulan selain lebih 7 tan untuk pasaran tempatan.

“Saya kini turut memasarkan Ids Booster dalam usaha berkongsi rezeki dengan golongan pekebun di negara ini,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  3  =