Ingkar SOP: 40 pekerja dan pelanggan pusat hiburan ditahan

 Ingkar SOP: 40 pekerja dan pelanggan pusat hiburan ditahan

Ingkar SOP: 40 pekerja dan pelanggan pusat hiburan ditahan . FOTO – PDRM

KUALA LUMPUR, 16 Okt — Polis menahan lebih 40 individu termasuk pekerja dan pelanggan sebuah pusat hiburan di Sungai Way kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam sebuah kenyataan, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, serbuan sekitar jam 4 awal pagi Jumaat itu mendapati enam lelaki tempatan sedang bekerja sebagai pelayan dan lima wanita warga asing disyaki pegawai perhubungan pelanggan (GRO) sedang berhibur bersama pelanggan dalam empat buah bilik karaoke berasingan.

Tambah beliau, kesemua mereka dikompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang kerana gagal memastikan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di tempat sesak.

“Ujian saringan air kencing terhadap kesemua individu berusia dalam lingkungan 19 hingga 70 tahun itu mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis amphetamine, tetrahydrocannabinol dan ketamin,” katanya.

Dalam serbuan yang sama, Polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan pengurus pusat hiburan tersebut.

“Pengurus premis ditahan kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit dan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 11(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Selangor kerana beroperasi lebih masa.

“Selain itu lima wanita warga asing direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan kes disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *