Industri setuju turun harga, kerajaan teliti cadangan stabilkan harga ayam

 Industri setuju turun harga, kerajaan teliti cadangan stabilkan harga ayam

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Pihak industri telah bersetuju menurunkan lagi harga ayam pada peringkat pengeluar serta ladang, supaya harga pada peringkat borong dan runcit dapat distabilkan dan membantu pengguna menikmati harga ayam yang berpatutan.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama dikeluarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, hari ini.

Menurut kenyataan itu, dalam mesyuarat antara kedua-dua kementerian itu semalam, kerajaan juga bersetuju untuk meneliti beberapa cadangan daripada pihak industri berkaitan usaha menstabilkan harga ayam.

Antaranya adalah pemberian kemudahan pinjaman mudah bagi membantu industri mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi dan menangani isu peningkatan kos pengeluaran berikutan kenaikan harga komponen makanan ayam yang diimport.

Kerajaan juga akan mempertimbangkan kawalan harga di semua peringkat, disokong dengan pemberian subsidi kepada rantaian tertentu sebagai salah satu usaha menangani isu kenaikan harga ayam, katanya.

Turut dipertimbangkan ialah cadangan melaksanakan sistem permohonan permit (AP) bagi penjualan ayam sekiranya usaha kerajaan untuk menangani isu harga ayam tidak mendapat kerjasama daripada peniaga di semua peringkat.

KPDNHEP dan MAFI juga akan memantau rapi isu kenaikan harga ayam standard yang berlaku sejak awal bulan ini iaitu harga runcit didapati melebihi RM10 sekilogram di beberapa kawasan, menurut kenyataan itu.

Berdasarkan data daripada Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP pada 13 Sept lepas, terdapat 98 premis runcit yang diperiksa telah menjual ayam standard pada harga melebihi RM10 sekilogram.

Susulan itu, KPDNHEP telah melaksanakan pendekatan baharu dengan mengadakan sesi libat urus secara terus dengan peniaga di lokaliti yang mengalami kenaikan harga ayam.

“Usaha ini telah membuahkan hasil apabila data menunjukkan trend penurunan harga ayam berbanding pada awal September dan trend ini dijangka akan terus menunjukkan penurunan, sekali gus dapat menstabilkan harga ayam di pasaran,” katanya lagi.

KPDNHEP juga akan meneruskan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan tindakan tegas akan diambil jika terdapat pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *