Industri berintensif buruh vs lambakan graduan IPT: Malaysia kini di persimpangan

 Industri berintensif buruh vs lambakan graduan IPT: Malaysia kini di persimpangan
Oleh Dr Zulkiply Omar

EKONOMI Malaysia tumbuh pesat setelah berlaku perubahan struktur di dalam ekonomi. Kepentingan sektor pertanian diambil alih oleh sektor pembuatan dari segi sumbangan kepada pekerjaan dan keluaran dalam negara kasar (KDNK). Perubahan struktur ini digelar sebagai perindustrian. Ia berlaku dengan ketara pada 1990-an.

Untuk tempoh 1988-1997, KDNK benar negara tumbuh pada kadar 9.2% setahun sebelum dikejutkan dengan krisis kewangan Asia pada 1998 dan ekonomi menguncup 7.4%. Ketika era perindustrian itu, sektor pembuatan memberi sumbangan besar kepada pekerjaan dan KDNK negara. Sebaliknya, sumbangan sektor pertanian menurun.

Pertumbuhan pesat ekonomi pada 1990-an didorong peningkatan produktiviti buruh pada kadar 5.3% setahun untuk tempoh 1988-1997. Perkembangan ini didorong oleh pelaburan asing yang pesat membawa masuk peningkatan teknologi ketika itu. Rata-rata teknologi pengeluaran berintensif buruh dan banyak peluang pekerjaan dicipta.

Setelah ekonomi pulih dari krisis ekonomi Asia, ekonomi tumbuh pada kadar lebih perlahan. Untuk tempoh 1998-2008, KDNK benar tumbuh pada kadar 5.5% setahun, sebelum sekali lagi terhenti dek krisis kewangan global pada 2009. Pertumbuhan produktiviti buruh juga direkodkan pada kadar lebih perlahan untuk tempoh itu (3.3% setahun). Persoalannya, mengapa berlaku trend sedemikian? Adakah itu kebiasaan, kebetulan atau kesalahan dasar?

Era perindustrian berlaku untuk tempoh singkat. Ini bercanggah dengan apa yang berlaku kepada negara maju kini yang berada di era kegemilangan perindustrian untuk tempoh lama. Perindustrian memberi kematangan kepada ekonomi dengan membina struktur yang kukuh. Peningkatan teknologi dan kemahiran buruh berlaku dengan pesat. Tetapi keadaan itu tidak berlaku untuk Malaysia. Perubahan struktur kepada kepentingan sektor perkhidmatan berlaku terlampau cepat sehingga membantutkan perkembangan sektor pembuatan.

Faktor utama ini berlaku ialah persaingan sengit untuk mendapatkan pelabur asing di kalangan negara membangun. Pada masa sama, pelabur asing menghadapi era kegemilangan kerana mereka mempunyai banyak lokasi pilihan. Pembuatan melalui konsep rantaian nilai global (GVC) juga berkembang pesat. Kebanyakan pelabur asing mengamalkan teknologi pengeluaran berintensif buruh dengan mempunyai banyak lokasi pilihan.  Malaysia berjaya menarik ramai pelabur asing kerana keadaan ketika itu tidak berapa mencabar untuk mendapatkannya. Adalah lebih mudah memetik low-hanging fruit.

Seiring pembangunan ekonomi, tenaga buruh turut berkembang. Lebih ramai pekerja mahir dan separa mahir dilahirkan dengan peningkatan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT). Ini bermakna penawaran tenaga buruh mahir meningkat di dalam ekonomi. Ini bermakna pekerja kurang mahir yang murah semakin kurang di dalam ekonomi. Maka pelabur asing yang sudah bertapak di dalam negara dengan pergantungan kepada buruh kurang mahir yang murah tidak dapat mengembangkan pengeluaran mereka, kecuali dengan peningkatan teknologi.

Di sinilah Malaysia berada di persimpangan. Kita mengharap pelabur sedia ada meningkatkan pelaburan berintensif teknologi. Dengan itu, mereka boleh menyerap tenaga mahir yang kian meningkat penawarannya kerana peningkatan kemasukan ke IPT tempatan. Jika tidak, pengangguran graduan akan berlaku. Namun, pelabur pula mempunyai banyak pilihan. Mereka boleh memilih untuk mengalih pengeluaran mereka ke negara lain yang masih mampu menyediakan tenaga buruh yang murah.

Jalan keluar yang dipilih oleh Malaysia telah mewujudkan situasi yang sedang diharungi kini. Penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi tidak mencukupi untuk menyerap tenaga kerja mahir yang dikeluarkan oleh IPT.  Sebaliknya, permintaan untuk tenaga kerja kurang mahir meningkat. Bagaimana berlaku situasi sedemikian?

Malaysia memilih untuk mengekalkan pengeluaran berintensif buruh dengan membenarkan penggunaan pekerja asing. Dasar ini memberi kesan amat besar kepada ekonomi seperti ditunjukkan oleh statistik di atas. Malaysia meraikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan. Ini sudah tentu boleh berlaku kerana Malaysia telah memilih untuk mengekalkan pengeluaran dengan berkompromi membenarkan penggunaan pekerja asing. Tetapi hakikatnya pertumbuhan KDNK adalah lebih perlahan.

Pertumbuhan ekonomi yang perlahan disebabkan nilai tambah yang kecil disumbangkan sektor pembuatan kerana kelembapan peningkatan teknologi. Malaysia terus bergantung kepada perkembangan sektor pembuatan yang masih terikat dengan jaringan rantaian nilai global yang memberi nilai tambah yang kecil.  

Peningkatan produktiviti buruh turut menjadi semakin perlahan. Ini memberi kesan yang meluas kepada ekonomi dari pelbagai sudut. Dari sudut pengeluaran kita telah lihat sumbangan nilai tambah yang kecil. Seterusnya kemapanan pertumbuhan ekonomi adalah wajar dirisaukan.

Kesan kepada tenaga buruh adalah lebih mendalam. Situasi ini menjadi antara  faktor, malah boleh jadi faktor utama menyebabkan peningkatan kes pengangguran graduan serta graduan bekerja di bawah tahap kelulusan mereka (underemployment). Ini bukan sahaja memberi tekanan kepada ekonomi, malah kesan psikologi kepada pekerja. Ini akan memburukkan lagi produktiviti buruh. Malah penghijrahan buruh mahir keluar negara (brain drain) turut meningkat. Ini turut memberi tekanan menurun kepada produktiviti.

Produktiviti buruh yang rendah turut bertanggungjawab menyebabkan peningkatan gaji menjadi perlahan. Rancangan Malaysia Ke-11 menyasarkan pampasan pekerja sebanyak 40% daripada GDP pada 2020 mungkin tidak tercapai. Pada 2019, pampasan pekerja sebagai peratusan kepada  GDP adalah 35.9%. Maka, kesan akhirnya adalah peningkatan gaji pekerja yang perlahan. Inilah ‘dalang’ utama yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup. Sebaliknya, peningkatan harga barangan sering dilaungkan sebagai penyebab mungkin kurang tepat. 

Kesan dari situasi pasaran buruh ini juga memberi kesan rantaian lebih serius. Pertama, peningkatan kemahiran menjadi lembap kerana graduan yang tidak bekerja tidak dapat meningkatkan kemahiran mereka. Sebahagian besar peningkatan kemahiran berlaku semasa bekerja. Kedua, kelembapan peningkatan teknologi mempengaruhi peningkatan kemahiran. Sebaliknya, ini tidak memberi galakkan kepada peningkatan teknologi. Jadi, ia memberi kesan jangka panjang yang mendalam.

Tidak dapat dinafikan pertumbuhan ekonomi masih terus berlaku. Namun hakikatnya, negara mempunyai potensi untuk tumbuh dengan lebih pesat dan kesejahteraan rakyat terus meningkat sekiranya permasalahan yang dibincangkan di atas dapat dirungkai. Bagaimanapun, berita baik adalah negara mempunyai asas yang agak kukuh dari segi keupayaan tenaga buruh. Ianya, cuma memerlukan dasar dan strategi yang sesuai.

Pergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah perlu dikurangkan serta dihadkan untuk sektor terpilih sahaja. Malah, pergantungan sektor pembinaan terhadap buruh asing perlu dikurangkan. Ini kerana sebahagian besar buruh tidak berkemahiran akan menjadi separa mahir semasa kerja. Lama kelamaan negara akan kehilangan kumpulan separa mahir ini jika keadaan berterusan.

Penulis ialah Pengarah Urusan, ECONSULT Economic Consulting Sdn Bhd

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

80  −    =  71