Industri benih punyai potensi untuk dibangunkan – Ronald

 Industri benih punyai potensi untuk dibangunkan – Ronald

RAWANG, 26 Mac — Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melihat buah tembikai (Sweet Sun Melon) pada Program Walkabout dan Taklimat Industri Benih di Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah (berdiri, tengah), Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Mohd Nasir Warris (berdiri, kiri), dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Haslina Abdul Hamid (berdiri, kanan). –fotoBERNAMA (2021)

RAWANG, 26 Mac  — Industri benih tanaman mempunyai potensi untuk dibangunkan syarikat tempatan bagi menampung bekalan dalam negara dan sehingga tahun lepas kira-kira 90 peratus  bekalannya  diimport, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Justeru beliau berharap pihak swasta mengambil peluang berkenaan untuk bersama kerajaan dalam membangunkan industri berkenaan bersama-sama.

“Benih merupakan satu industri yang penting dan harus bergerak seiring dengan industri agromakanan itu sendiri. Apa juga yang kita tanam memerlukan benih yang berkualiti, sesuai dengan keadaan cuaca dan tanah di negara kita.

Inilah masanya para pemain industri untuk turut sama bangunkan industri benih di negara kita,” katanya selepas membuat lawatan ke Syarikat Green World Genetics Sdn Bhd di sini hari ini.

Ronald berkata pihak swasta perlu menyahut cabaran membangunkan industri benih menjadikan ia sebagai satu industri yang memberi pulangan baik dari segi ekonomi.

Ronald yakin industri berkenaan sekiranya digerakkan dengan dasar yang baik akan membuka peluang  pekerjaan baharu kepada generasi muda.

Pada masa sama, beliau sekali lagi menyatakan bahawa MAFI kini sedang merancang untuk menggubal  satu rang undang-undang baharu mengenai benih.

Beliau berkata rang undang-undang itu akan meliputi kawal selia ke atas semua benih yang terkawal dari segi pemprosesan, pengujian, penjualan, pengedaran, pengimportan, pengeksportan dan memastikan kualiti benih yang dikeluarkan memenuhi syarat dan standard yang akan ditetapkan.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

24  +    =  30