• Sunday, 20 June 2021, 12:33 pm

Imkannur rukyah syarat tentukan Ramadan, Syawal

 Imkannur rukyah syarat tentukan Ramadan, Syawal

Foto Bernama

UMAT Islam baru sahaja menyambut kehadiran Syawal, setelah sebulan mengerjakan ibadah puasa.

Walaupun bulan Ramadan telah berlalu dan kita tidak sabar menantikan ketibaannya lagi tahun hadapan, baik juga bagi kita untuk terus mengingati dan mempelajari dengan lebih lanjut tentang bulan yang mulia itu.

 

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Al-Baqarah ayat 185

 

Ibadah puasa pada bulan Ramadan adalah satu ibadah yang wajib dilakukan oleh setiap orang Islam yang telah cukup syarat-syaratnya. Ibadah ini hanya boleh dilakukan pada Ramadan sahaja dan tidak sah dilakukan pada bulan-bulan lain.

Secara umumnya untuk penentuan awal Ramadan, seseorang yang adil hendaklah bersaksi di hadapan pemerintah bahawa dia telah melihat anak bulan sekiranya anak bulan telah kelihatan. Dan sekiranya anak bulan susah kelihatan disebabkan oleh awan yang tebal, atau tiada sesiapa yang adil tampil bersaksi melihat anak bulan tersebut, bulan Sya’ban hendaklah dicukupkan bilangannya 30 hari.

Untuk menyeragamkan kaedah menentukan awal Ramadan di Malaysia, syarat kenampakan anak bulan atau kriteria imkannur rukyah (jangkaan kenampakan) digunakan. Kaedah ini juga digunakan untuk penentuan awal bulan Syawal dan awal bulan Zu al-hijjah serta awal bulan-bulan Islam yang lain.

Melalui kaedah ini anak bulan disifatkan ada dan memenuhi syarat kenampakan (imkannur rukyah) apabila memenuhi syarat berikut,

Ketika waktu matahari terbenam tempatan, ketinggian anak bulan hendaklah melebihi 2 darjah dan jarak lengkung melebihi 3 darjah atau umur anak bulan melebihi 8 jam.

Sekiranya anak bulan tidak kelihatan pada hari ke-29 ketika cerapan dibuat, tetapi kuantiti bagi parameter bulan berada dalam lingkungan syarat-syarat di atas, maka anak bulan disifatkan ada dan awal bulan Hijri boleh dimulakan.

Menurut kaedah penyelarasan rukyah dan hisab serta takwim Hijri di Malaysia, syarat imkannur rukyah dinilai berdasarkan fenomena yang berlaku ketika waktu matahari terbenam di stesen rujukan Tanjung Chincin, Pulau Langkawi, Kedah. Tetapi sekiranya anak bulan kelihatan di mana-mana tempat rukyah rasmi yang telah diwartakan seluruh negara sebelum waktu matahari terbenam di Tanjung Chincin, Pulau Langkawi, ianya memadai untuk diisytiharkan anak bulan kelihatan dan bulan baharu boleh dimulakan.

Sebagai contoh, permulaan ibadah puasa di bulan Ramadan tahun 1442 hijri bersamaan tahun 2021 dimulakan pada tarikh 13 April 2021 setelah cerapan yang dibuat pada 29 Sya’ban bersamaan dengan 12 April 2021 di Balai Cerap Teluk Kemang, Port Dickson memenuhi kriteria imkannur rukyah walaupun secara fizikalnya anak bulan tidak kelihatan kerana faktor langit yang agak mendung ketika itu. Pada tarikh tersebut ketika matahari terbenam anak bulan berada pada ketinggian  3 darjah 31 minit 39 saat dan jarak lengkung 4 darjah 25 minit 7 saat. Umur bulan pula adalah 4 jam 9 minit.

Aktiviti rukyah dan hisab serta penetapan awal puasa serta hari raya diselaraskan di antara peringkat kebangsaan serta negeri dengan penubuhan Jawatankuasa Melihat Anak Bulan di negeri-negeri. Jawatankuasa ini dilantik oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia dan Raja-Raja atau Sultan. Bagi negeri Melaka, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang pelantikan dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong. Jawatankuasa ini diuruskan oleh Jabatan Mufti di setiap negeri dengan dibantu oleh beberapa agensi lain.

Secara kebiasaannya jawatankuasa ini dianggotai oleh, Mufti Negeri sebagai pengerusi jawatankuasa, Ketua Hakim Syarie, Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan (beragama Islam), Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri, Seorang ulama atau ahli falak, Pegawai Agama Islam Daerah, dan Setiausaha (biasanya Pegawai Hal Ehwal Islam dari Unit Falak).

Jawatankuasa ini akan diketuai oleh Mufti negeri atau Pegawai Agama Daerah jika terdapat lebih daripada satu tempat rukyah. Ketua rombongan bertanggungjawab melaporkan kepada pihak berkuasa negeri keputusan cerapan anak bulan sebelum dipanjangkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia untuk siaran umum.

Teks ini disediakan oleh Unit Falak, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *