Imigresen Melaka tahan 39 pendatang asing termasuk tiga wanita

 Imigresen Melaka tahan 39 pendatang asing termasuk tiga wanita

MELAKA, 18 April — Jabatan Imigresen menahan 39 pendatang asing tanpa izin termasuk tiga wanita dalam serbuan berasingan di sekitar Klebang dan Batu Berendam di sini, awal pagi semalam.

Timbalan Pengarah Imigresen Melaka K Vishnutharan berkata kesemua yang ditahan berumur antara 23 hingga 50 tahun membabitkan 22 warga Bangladesh, Indonesia (sembilan), Pakistan (enam) dan dua Myanmar.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

“Pada pemeriksaan pertama kira-kira 1.15 pagi, pihak kita memeriksa sebuah penempatan pekerja asing di Pantai Klebang  bagi cadangan pembangunan hotel dan kondominium di kawasan tersebut dengan 132 warga asing telah diperiksa.

“Serbuan kedua dijalankan di sekitar Pasar Borong, Batu Berendam kira-kira 4.00 pagi, yang mana sebanyak 34 warganegara asing telah diperiksa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Operasi bersepadu itu melibatkan 45 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Mohd Mukhlis Abu Kassim serta dibantu 20 anggota Jabatan sukarelewan Malaysia (RELA) Melaka.

Vishnutharan berkata ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat pendatang asing yang cuba melarikan diri ke kawasan pantai dan belukar berhampiran bagi melepaskan diri dengan memanjat pagar.

“Namun percubaan mereka berjaya digagalkan dan kesemua ditahan seterusnya dibawa ke Depot Sementara JIM Melaka untuk tindakan lanjut.

“Pihak kita juga sentiasa membuat pemantauan berterusan di lokasi panas terutama yang menjadi tumpuan warga asing di penempatan-penempatan haram,” katanya.

Sementara itu, bagi pendatang asing tanpa izin yang berada di negara ini, mereka dinasihatkan untuk mengambil peluang untuk pulang ke negara asal dengan menyertai program Rekalibrasi Pulang (RP) yang sedang dijalankan oleh JIM di seluruh negara sebelum 30 Jun depan.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

51  −    =  43