IMBRT lakukan ujian rintis 8 April

 IMBRT lakukan ujian rintis 8 April

Illustrasi salah satu stesen BRT di Johor Bahru

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 20 Mac – Projek Iskandar Malaysia Bas Rapid Transit (IMBRT) akan memulakan ujian rintis pada 8 April ini bagi melihat kemajuan projek tersebut dalam tempoh tiga bulan.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, ujian tersebut diadakan di laluan sepanjang 4 kilometer melalui Lebuhraya Sultan Iskandar antara Horizon Hill dan Anjung Medini.

Katanya, IMBRT dijangka beroperasi sekurang-kurang dalam tempoh dua tahun selepas ujian selesai.

“Ujian yang akan dijalankan ini akan melibatkan sembilan syarikat pengeluar bas bagi membuat demonstrasi kenderaan menggunakan teknologi hijau yang terkini termasuk bas elektrik dan biodiesel.

“Institusi Pengangkutan Malaysia (Mitrans) juga akan menjalankan kajian bagi menilai prestasi Automated Rapid Transit (ART) dari segi keberkesanan pengendaliannya terutama ketika membelok, menukar lorong serta kebolehan pemanduan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, ujian tersebut melibatkan beberapa agensi, antaranya Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Pengangkutan Jalan sebelum ia diluluskan.

Ismail Ibrahim

“Iskandar Malaysia memerlukan sistem pengangkutan awam yang berkesan serta mempunyai rangkaian meluas seperti IMBRT selari dengan status metropolis berdaya saing yang bertaraf antarabangsa.

“Apabila siap, IMBRT akan menyediakan 55 bas perantara dan 44 bas terus, meliputi 90 peratus kawasan Iskandar Malaysia, dengan laluan sepanjang 54.92 kilometer di Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri.

“Sebuah infrastruktur pengangkutan awam yang efisien dan integrasi menjadi katalis dalam menarik pelabur asing dan domestik. Kami tidak sabar untuk terus mengorak langkah memasuki fasa seterusnya bagi projek IMBRT ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua BRTIM Sdn Bhd, Rudyanto Azhar berkata, pelaksanaan projek berkenaan itu amat penting sebagai persediaan menampung jumlah populasi di Iskandar Malaysia yang dijangka meningkat menjelang 2025.

“Sistem pengangkutan berkualiti tinggi seperti IMBRT ini mampu menyediakan kemudahan kepada komuniti perkhidmatan yang meluas dan menghubungi sistem perhubungan lain termasuk Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

22  −  17  =