Imbangi amalan fardu ‘ain dan fardu kifayah

 Imbangi amalan fardu ‘ain dan fardu kifayah
Oleh Dato’ Nakhai’e Ahmad

TANGGUNG jawab manusia sebagai khalifah di bumi merangkumi urusan hidup bermasyarakat dan bernegara untuk memastikan kehidupan dalam pelbagai bidang dicorakkan dengan acuan agama ini dan corak kehidupan itu mesti berlaku di dunia ini dan ia menjadi amalan yang  diberi ganjaran besar di akhirat.

Justeru, Rasulullah SAW berjuang menegakkan negara, mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, serta mengurus hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam supaya hidup dalam keadaan harmoni dan seterusnya berdakwah menyampaikan Islam kepada manusia.

Untuk itu, tanggungjawab seorang Muslim tidak berhenti hanya dengan amalan di lingkungan kewajipan fardu ‘ain semata-mata. Tidak memadai dengan hanya melengkapkan diri dengan mengurus diri sendiri tanpa terlibat dalam usaha mengurus masyarakat mengikut acuan Islam.

Para asatizah perlu mengembleng tenaga bagi menyedarkan masyarakat mengenai tanggung jawab seorang Muslim yang menyeluruh untuk mengelak masyarakat memahami Islam dalam wajah yang sama dengan agama kesamian dan kepaderian.

Tanggung jawab mengurus diri yang digariskan di dalam kerangka fardu ‘ain adalah suatu kemestian yang perlu bagi para asatizah menyampaikannya kepada masyarakat sejak zaman kanak-kanak.

Bahkan kuliah-kuliah yang disampaikan di masjid dan surau turut memberi penekanan kepada aspek ibadah-ibadah khusus ini.

Untuk menambahkan kesempurnaan ibadat itu, pelbagai amalan zikir diijazahkan oleh para asatizah kepada hadirin di kuliah-kuliah mereka. Untuk terus menggandakan pahala digalakkan mengerjakan solat dan puasa sunat serta bersedekah.

Penekanan kepada aspek ini dalam naratif para asatizah memberi gambaran yang cukup jelas dan membina kesedaran betapa pentingnya aspek ini dihayati dalam kehidupan seorang Muslim. Ini sudah tentu dapat memperbaiki diri dalam hubungan dengan Allah dan manusia serta persiapan diri untuk berpindah ke alam akhirat.

Amalan-amalan ibadat khusus seperti mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa dan mengerjakan haji menjadi tajuk kewajipan yang sering diceramahkan untuk pengetahuan umum.

Adakah dengan melaksanakan kewajipan aspek ini dengan sempurna, maka lengkap tanggung jawab sebagai seorang Muslim? Dan, apakah dengan itu sudah  cukup persiapan untuk menjawab soalan-soalan di hadapan Allah SWT?

Allah SWT mengutus Rasulullah SAW dengan membawa ajaran Islam untuk membentuk kehidupan dengan acuan agama-Nya. Usaha dan perjuangan manusia mencorak kehidupannya dengan Islam merupakan ibadah dalam pengertian yang selengkapnya.

Ibadah khusus seperti solat, puasa dan zikir adalah sebahagian daripada amalan itu yang tidak lengkap acuan kehidupan Islam tanpanya. Namun di sini, terdapat aspek amalan lain yang wajib dikerjakan bagi mencorak kehidupan ini dengan Islam iaitu fardu kifayah.

Rasulullah SAW memimpin umat dengan menghayati kedua-dua aspek kewajipan ini bagi menegakkan agama ini sebagai sistem yang mengurus negara, masyarakat dan mengurus diri. Bukan hanya sekadar mengurus diri semata-mata.

Tanggung jawab besar ini mesti dilasksanakan manusia beriman bukan sahaja sebagai individu tetapi juga sebagai jama’ah.

Dalam hal ini, Allah SWT telah menggariskan secara terperinci  kewajipan individu iaitu fardu ‘ain dan kewajipan orang Islam sebagai jama’ah.

Keadaan ekonomi dan kesihatan yang merosot juga memberi kesan kepada kehidupan beragama dari sudut kewajipan fardu ain dan fardu kifayah. Umat memerlukan bimbingan.

Isu pendidikan juga antara isu penting yang mencorak kehidupan apa lagi isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Jika para asatizah hanya memberi fokus kepada kewajipan mengurus diri sahaja, dibimbangi masyarakat umum memahami hanya dengan solat dan zikir maka tanggung jawab mereka sebagai Muslim sudah sempurna dan mereka mendapat laluan mudah ke syurga.

 

Penulis ialah tokoh veteran politik dan pendakwah.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

53  −  52  =