Iltizam politik dalam penambahbaikkan sistem & proses pilihan raya

 Iltizam politik dalam penambahbaikkan sistem & proses pilihan raya
Oleh Amerul Muner Mohammad

UNDANG-UNDANG pilihan raya di Malaysia bermula dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang digubal oleh British untuk digunakan dalam pilihan raya Legislative Council yang pertama kali diadakan pada 1955. Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1958 dan peraturan-peraturan berkaitan pilihan raya kemudian disediakan masih dengan bantuan pihak British bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) pertama selepas merdeka pada 1959.

Sehingga hari ini, Malaysia telah melalui 14 PRU dengan jayanya dengan mengguna pakai undang-undang serta peraturan-peraturan yang tidak banyak berubah sejak merdeka. Walaupun terdapat beberapa pindaan ke atas undang-undang, secara dasarnya, perkara-perkara asas seperti sistem pilihan raya, pengurusan persempadanan bahagian pilihan raya, prosedur perjalanan pilihan raya, peraturan berkempen, penamaan calon, cara pengundian dan pengiraan kertas undi dan urusan berkaitan pengundi tidak hadir, masih tidak banyak berubah sejak merdeka.

Bagi memastikan kesesuaian sesuatu polisi, kerajaan mengkaji polisi-polisi tersebut dari masa ke semasa. Pada Jun 1965, Suruhanjaya Siasatan Diraja ke Atas Perjalanan Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan oleh Senator Athi Nahappan telah menjalankan kajian. Di antara cadangan suruhanjaya tersebut adalah untuk menggantung peruntukan undang-undang berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan di seluruh negara. Hasil daripada cadangan tersebut, Parlimen telah meluluskan beberapa undang-undang baharu yang melibatkan pentadbiran kerajaan tempatan termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memansuhkan pilihan raya kerajaan tempatan.

Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang dikeluarkan oleh Parlimen Malaysia pada 2012 yang mengambil kira pandangan pihak awam telah mendorong beberapa pindaan di dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 2002 yang mewajibkan penggunaan dakwat kekal ke atas pengundi-pengundi bagi mengelak penipuan dengan mengundi lebih daripada satu kali oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Peraturan ini dipinda dan disahkan di Parlimen.

Pada 2015, kerajaan Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang dipengerusikan oleh  Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Hasil dari cadangan jawatankuasa tersebut,  suatu draf Rang Undang-Undang  Derma Politik 2019 telah dikemukakan untuk diperhalusi oleh Jawatankuasa  Pilihan Khas Parlimen bagi Pertimbangan Rang Undang-Undang. Akibat daripada pertukaran kedudukan ahli-ahli Parlimen pada Mac 2020, sehingga hari ini rang undang-undang tersebut masih belum dibentangkan untuk perbahasan oleh ahli-ahli Parlimen.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang ditubuhkan pada Ogos 2020 adalah suatu lagi contoh tindakan proaktif kerajaan untuk mengkaji keberkesanan dan kesesuaian sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia ketika ini. Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi mandat besar untuk mengkaji hampir keseluruhan sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia. Selepas menjalankan kajian, ERC mengemukakan 49 cadangan yang merangkumi beberapa teras utama iaitu mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pengurusan pilihan raya dengan memperkasakan institusi pengurusan pilihan raya; mewujudkan gelanggang pilihan raya yang adil dan sama rata; memudahkan rakyat untuk mengundi dan memantapkan sistem dan proses pilihan raya. Antara cadangan tersebut termasuklah mekanisme bagi mengatasi isu lompat parti dan undang-undang berkaitan dana politik. Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk mengkaji tindakan selanjutnya ke atas cadangan-cadangan tersebut.

Berdasarkan kepada contoh yang dinyatakan, adalah jelas bahawa sebarang perubahan di dalam sistem dan proses pilihan raya adalah tertakluk kepada sama ada pindaan atau penggubalan undang-undang yang berkaitan. Kita juga sedia maklum bahawa proses penggubalan dan pindaan ini hanya berlaku di dalam Parlimen yang mana ahli-ahli adalah kumpulan yang akan terkesan secara terus dengan sebarang perubahan di dalam undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Perubahan dalam undang-undang pilihan raya akan mengubah landskap politik dan ahli-ahli politik juga harus berubah bagi memenuhi rentak dan nada baharu sekiranya mereka bersetuju untuk pembaharuan. Namun, soalan utama yang sering timbul di dalam usaha penambahbaikan pilihan raya adalah, sejauh manakah ahli-ahli politik akan bersetuju untuk meminda sistem dan proses yang telah membawa mereka ke Parlimen? Adakah ahli-ahli politik kita bersedia untuk meminda undang-undang dan peraturan-peraturan yang mereka begitu arif dan selesa menggunakannya? Sejauh manakah iltizam politik di kalangan ahli-ahli politik di negara ini. Pada 2019, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan persetujuan hampir kesemua ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik untuk membolehkan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Saya percaya perkara yang sama boleh berlaku apabila ahli-ahli Parlimen meletakkan kepentingan dan kemahuan pengundi di tahap yang lebih tinggi daripada kepentingan parti politik masing-masing.

Penulis ialah mantan Ketua Eksekutif ERC

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

7  +  3  =