Ilmuwan falak Islam pelopori ilmu moden

 Ilmuwan falak Islam pelopori ilmu moden

Oleh Unit Falak Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

KEUTUHAN empayar kerajaan Islam sebelum ini bukan sahaja berjaya membina tamadun agung malah mendorong lahirnya ramai ilmuwan tersohor dan perkembangan ilmu dalam pelbagai bidang yang menjadi asas kepada ilmu dan pendidikan moden seperti sains dan teknologi, perubatan, pelayaran serta falak (astronomi). Tulisan ini akan memaparkan serba ringkas beberapa ilmuan tersohor Islam khususnya bidang falak.

Umar al-Khayyam (1044-1123M)

Ghiyath al-Din Abu al-Fath Umar ibn Ibraim al-Khayyami al-Nishaburi dilahirkan di Nishapur, ibu kota wilayah Khurasan (kini kawasan di Iran). Sumbangan utam beliau adalah dalam bidang matematik melalui makalah algebra bertajuk Maqalah fi al-Jabrwa al-Muqabalah (Rencana Mengenai Penyempurnaan dan Pengimbangan Algebra).

Ketika pemerintahan Sultan Seljuk yang bernama Malik Shah Jalal al-Din, Umar yang ketika itu berusia 30 tahun telah membangunkan takwim suria untuk kegunaan pentadbiran dan kutipan cukai. Nilai-nilai dalam takwim Al-tarikh al-Jalali mencapai hingga 11 tempat perpuluhan. Beliau juga memberikan sumbangan dalam penentuan graviti tentu dan metafizik melalui dua buku iaitu Risalah Dar al-Wujud dan Nawruz Namah.

(Dari kiri) Umar al-Khayyam, Al-Farghani dan Ibn Yunus antara ilmuwan besar Islam.

Al-Farghani (805-860M)

Abu al-Abbas Ahmad ibn Muhammad Ibn Khathir al-Farghani adalah ahli falak terkenal ketika era al-Makmun pada kurun ke-9. Beliau lahir di Ferghana (dulu kawasan di Transoxiana, kini Uzbekistan) dan menetap di Kota Baghdad.

Antara sumbangan besar al-Farghani ialah menghuraikan Almagest karangan Ptolemy melalui bukunya Kitab fi Jawami’ ‘Ilm al-Nujum (Kompilasi Sains Samawi) yang membicarakan  elemen astronomi pada gerakan objek-objek samawi khususnya bintang termasuk planet. Selain itu, beliau berjaya menentukan ukur lilit bumi dan juga planet lain. Sebagai memperingati dan menghargai jasa beliau dalam astronomi, satu tugu didirikan di Ferghana dan satu kawah di bulan dinamakan Alfaraganus sempena nama beliau.

Ibn Yunus (950-1009M)

Kawah Ibn Yunus di bulan dinamakan sempena nama Abu al-Hasan Ali ibn Abd al-Rahman ibn Ahmad ibn Yunus al-Sadafi al-Misri kerana ketepatan dan ketelitian hasil kerja beliau yang disifatkan mendahului zaman dalam karya agungnya al-Zij al-Kabir al-Hakimi.

Ibn Yunus dilahirkan di Mesir ketika Dinasti Fatimid dan berkhidmat sebagai ahli falak pada zaman Khalifah al-Aziz dan al-Hakim. Penulisan beliau tidak disertakan sebarang terma matematik, namun sarjana Barat mengesyorkan bahawa beliau menggunakan persamaan identiti trigonometri yang hanya ditemui pada kurun ke-16. Beliau mencatatkan mengenai 40 fenomena ijtimak planet dan 30 gerhana bulan pada zamannya.

Al-Battani (858-929M)

Abu Abdullah Mohammad ibn Jabir ibn Sinan al-Raqqi al-Harrani al-Sabi’ al-Battani dilahirkan di Battan, Harran (kini Turki). Ilmu astronomi dan matematik dipelajari daripada bapanya yang juga seorang ahli sains.

Sumbangan utama beliau dalam bidang astronomi ialah menghitung masa bumi mengorbit matahari yang mengambil tempoh 365 hari 5 jam 46 minit 24 saat. Beliau juga menyedari perubahan latitud matahari sebanyak 16 darjah 47 minit sejak zaman Ptolemy. Selain itu, diameter matahri dan bulan turut dihitung. Buku tulisan al-Battani yang diterjemahkan dalam bahasa Latin berjudul De Scienta Stellarum De Numeris Stellaru Metmotibus. Idea beliau dirujuk oleh ilmuan Barat seperti Coppernicus, Tycho Brahe, Riccioli, Kepler dan Galileo.

Ibn Haitham (965-1040M)

Abu Ali Muhammad ibn al-Hasan ibn al-Haitham lahir di Basra, Iraq. Beliau amat dikenali sebagai Alhazen iaitu Bapa Optik bagi mereka di Barat. Kitab al-Manadhir (diterjemahkan ke Bahasa Latin sebagai Opticae Thesaurus) karangan beliau membicarakan mekanisme penglihatan yang menjadi teori asas optik moden.

Ibn Haitham telah menyentuh mengenai pelbagai aspek cahaya termasuk pergerakan cahaya dalam garis lurus serta menemukan pembiasan pada medium yang berbeza dan penyerakan cahaya yang mengandungi pelbagai warna. Fenomena seperti bayang-bayang, gerhana, pelangi serta saiz bulan dan matahari ketika di ufuk dijelaskan oleh beliau. Dalam bukunya Mizan al-Hikmah pula, perbincngan berkisar perkaitan atmosfera dengan faktor ketinggian dan mencadangkan 19 darjah di bawah ufuk sebagai sudut senja.

Al-Biruni (980-1037M)

Abu Rayhan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni dilahirkan di Khawarizm (kini Uzbekistan) di Asia Tengah ketika itu di bawah Kerajaan Parsi. Beliau boleh bertutur dalam bahasa Khwarezmi, Parsi, Arab, Sanskrit, Latin, Ibrani dan Syria. Beliau adalah seorang ahli matematik, astronomi, ahli fizik, cendekiawan, penulis ensiklopedia, ahli falsafah, ahli astrologi, pengembara, pakar sejarah, ahli farmasi dan guru yang banyak menyumbang kepada bidang matematik, falsafah, perubatan dan sains.

Beliau mencadangkan kaedah untuk pengiraan panjang jejari dan ukur lilit bumi yang lebih tepat, merekodkan kejadian gerhana, mengilustrasikan geometri perubahan fasa bulan dan memberikan pengenalan kepada bidang hidrodinamik.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

83  −  82  =