Ilmu Falak penting dalam soal ibadah

 Ilmu Falak penting dalam soal ibadah

Ilmu Falak, antara bidang yang sangat penting untuk diketahui dan fahami dalam Islam. Ini kerana ia melibatkan soal ibadah seperti arah kiblat, waktu solat dan ibadah puasa. Ilmu falak juga membincangkan mengenai pergerakan jasad samawi khususnya bulan, matahari, bintang dan planet pada orbit masing-masing.

Bagaimanapun di Malaysia, skop ilmu falak khususnya falak syar‘ie di Jabatan Mufti tertumpu bagi tujuan penyempurnaan sesuatu ibadah khususnya berkaitan penentuan waktu solat, penentuan arah kiblat, penentuan takwim hijrah, penetapan anak bulan selain gerhana matahari serta bulan.

Ilmu falak dalam al-Quran dinyatakan menerusi ayat yang menceritakan mengenai pergerakan jasad samawi untuk kita teliti sedalam-dalamnya. Hal ini dapat dibuktikan firman Allah SWT menerusi ayat ini:

لَا الشَّمْسُ يَنۢبَغِى لَهَآ أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا الَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ  ۚ وَكُلٌّ فِى فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

“(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.” 

(Ya-Sin 36:Ayat 40)

وَهُوَ الَّذِى خَلَقَ الَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ  ۖ كُلٌّ فِى فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

“Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).” (Al-Anbiya 21: Ayat 33)

Ayat-ayat di atas menjelaskan, matahari dan bulan bergerak dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Matahari tidak akan muncul pada waktu malam. Siang dan malam pula bergilir-gilir menggantikan antara satu dengan yang lain. Setiap sesuatu di langit itu beredar pada orbitnya masing-masing menurut ketentuan Allah SWT.

Hadis Nabi SAW riwayat Aisyah r.a yang bermaksud: “Bahawasanya matahari dan bulan itu dua tanda daripada segala tanda-tanda yang menunjukkan keesaan dan kekuasaan Allah Taala. Tiada gerhana keduanya kerana mati seseorang atau hidupnya,  maka apabila kamu lihat akan demikian itu, maka hendaklah kamu sembahyang hingga hilang gerhana.” (Imam Muslim)

Definasi falak dalam konteks masa kini, takrifan sebagai ilmu yang membincangkan mengenai pergerakan jasad samawi yang terhasil daripada gabungan beberapa disiplin seperti ilmu ukur, matematik, fizik, sejarah, sosiologi dan keagamaan. Ilmu falak syarie mencakupi antara lain perkara seperti pembentukan takwim tahunan, pencerapan hilal, perhitungan waktu solat, penentuan hala kiblat dan pencerapan gerhana.

Falak dari sudut bahasa bermaksud majra al-kawakib iaitu tempat-tempat perjalanan planet. Menurut Baharuddin Zainal (2002) dalam buku Pengenalan Ilmu Falak, istilah falak merujuk kepada penggunaan segala kaedah falak termasuk hasil pengiraan dan segala maklumat yang diperolehi darinya untuk digunakan dalam ibadat dan perbahasan ilmu tauhid.

Merujuk Kitab Mukhtasar Ilmu Falak karangan Mohamad Faizal Jani (2020), Syeikh Umar al-Jilani membahagikan ilmu falak terbahagi kepada tiga iaitu:

Falak Wasfi: Ia melibatkan perbahasan objek samawi dari sudut pergerakan, matla’ dan terbenam, bentuk orbit, naik dan turunnya, panjang malam dan siang, apa yang berkaitan dengan bulan, tahun, hilal dan gerhana.

Falak Tabii: Ia melibatkan perbahasan mengenai dalil-dalil peristiwa, illah peristiwa-peristiwa tersebut serta kaedahnya. Ia dinamakan juga sebagai ilmu tanjim atau ahkam atau ilmu melibatkan pendalilan.

Falak Amali: Ia melibatkan perbahasan mengenai pengetahuan yang dicapai oleh kedua-dua pembahagian (Falak Wasfi dan Falak Tabii) melalui peralatan Rubu’ Mujayyab, al-Muqantar, glob bumi dan pengiraan seperti zij, laporan cerapan dan logaritma.

Menurut Syeikh Umar Nuruddin dalam Kitab Syams al-Fathiyah, sebahagian ulama membahagikan hukum mempelajari ilmu falak kepada empat iaitu:

Wajib: Iaitu dalam konteks mengetahui kedudukan matahari bagi waktu solat dan petunjuk arah kiblat.

Sunat: Iaitu dalam konteks mengetahui “petunjuk dengan dia dalam musafir”. Pengetahuan seperti kedudukan buruj, manzilah, bintang-bintang dan planet. Ia juga merangkumi penggunaan alat seperti kompas untuk memudahkan urusan musafir.

Makruh: Iaitu dalam konteks mengetahui waktu akan berlaku gerhana matahari dan bulan. Ini kerana mengetahui kejadian gerhana yang bakal berlaku akan mengurangkan rasa cemas dan takut.

Haram: Iaitu konteks ilmu tanjim yang merangkumi perkara ghaib seperti kesembuhan dari sakit, kelahiran dan kematian.

Oleh Unit Falak, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

Rujukan: Kitab Mukhtasar Ilmu Falak (Mohamad Faizal bin Jani)

              :Pengenalan Ilmu Falak (Baharuddin Zainal)

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  54  =  60