Illi Najwa mengadap Sultan Johor, masih beragama Islam

 Illi Najwa mengadap Sultan Johor, masih beragama Islam

Illi Najwa mengadap Sultan Ibrahim di Pejabat Mados, Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru, hari ini. –Foto: Royal Press Office (RPO)

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 18 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menerima mengadap Illi Najwa Anuar Hussein Saddique di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, di sini.

Mengiringi pasangan tersebut, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md. Rofiki Shamsudin.

Kisah Illi Najwa sebelum ini menjadi topik hangat rakyat apabila menimbulkan kontroversi ekoran melangsungkan perkahwinan dengan Kapten Hoki India, Manpreet Singh Pawar, tahun lalu yang didakwa berlainan agama.

Dalam sembah mengadap itu, Yahya turut menyembah maklum hasil siasatan JAINJ berkenaan status perkahwinan dan keagamaan Illi Najwa dan suaminya.

Menurutnya, siasatan secara menyeluruh telah dilakukan oleh JAINJ dan mendapati Illi Najwa masih beragama Islam.

“Pihak JAINJ telah memanggil Illi Najwa bersama-sama ibunya serta beberapa saksi lain dan keterangan juga diambil daripada mereka.

“Hasil siasatan mendapati Illi Najwa tidak pernah keluar Islam, malah pada hari ini beliau (Illi Najwa) juga hadir bersama-sama kami untuk mengadap Baginda Tuanku Sultan,” katanya kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Pada Disember lalu, Sultan Ibrahim menitahkan JAINJ dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita berkenaan yang dilaporkan berkahwin dengan Kapten Hoki India.

Sultan Ibrahim bertitah, sebagai Ketua Agama Islam Johor, baginda bertanggungjawab memelihara kedudukan Islam supaya sentiasa terpelihara dan dipandang mulia selari dengan Perkara 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perkara 3 Perlembagaan.

Dalam pada itu, Yahya berkata, pendaftaran perkahwinan pasangan itu di Johor Bahru juga kini dalam proses.

“Tiada ada apa-apa masalah untuk didaftarkan perkahwinan mereka dan isu ini juga sudah selesai,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  36  =  43